Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada soalan berkenaan dengan mas kahwin. Baru2 ini adik saya telah melansungkan perkahwinan dengan suaminya. Mas kahwin adalah sebyk rm5k. Suaminya telah meninggal dunia dan mas kahwin tersebut masih belum dilunaskan oleh suaminya. Bagaimana perlu kami bincangkan dengan ahli keluarga si suami? Adakah perlu dilunaskan atau boleh dihalalkan oleh pengantin perempuan?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam kes ini, mas kahwin atau mahar adalah hak penuh milik isteri dan ia menjadi hutang yang wajib dilunaskan oleh suami. Oleh kerana suami telah meninggal dunia sebelum menjelaskan mahar tersebut, maka ia menjadi hutang si mati dan perlu diselesaikan sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris. Demikian itu, keluarga suami perlu dimaklumkan dan harta peninggalan si mati harus digunakan untuk membayarnya. Jika tiada harta mencukupi, maka waris tidak wajib menanggungnya, tetapi boleh membayar secara sukarela. Namun begitu, si isteri boleh sahaja menghalalkan mahar tersebut jika dia redha dan tidak ingin menuntutnya. Oleh itu, dinasihatkan agar diadakan perbincangan antara keluarga bekas suami supaya mendapat kesepakatan dan solusi yang tuntas
Sekian, terima kasih.