Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t
Situasi; air mani suami disimpan di dalam makmal untuk tujuan persenyawaan dengan telur isteri (IVF).
Soalan:
1) Apakah hukum sekiranya setelah proses persenyawaan tersebut (air mani + telur = embrio berjaya berkembang), namun SEBELUM dimasukkan ke rahim isteri, suaminya meninggal dunia?
2) Apakah hukum sekiranya persewanyaan dilakukan SELEPAS suami meninggal dunia kerana air mani telah diambil semasa hidupnya?
Terima kasih.
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan persenyawaan dengan telur isteri (IVF) adalah diharamkan dalam Islam. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami telah meninggal dunia. Menurut Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah:
“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`i sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian."
Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan. Hal ini sebagaimana pandangan hukum yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.