Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, pertamyaan saya berkenaan zakat pendapatan. Saya menetap di Seremban, senelum ni bekerja di pejabat kelana jaya. Potongan zakat pendapatan melalui potongan gaji ke pusat zakat Selangor. Kini saya dah pencen, potongan zakat pendapatan dr pencen saya masih saya teruskn ke pusat zakat selangor. Persoalan saya bolehkah diteruskn begitu atau perlu di bayar zakat pendapatan itu ke pusat zakat negeru sembilan. Terima kasih.
Jawapan
Zakat merupakan kewajiban ke atas umat Islam. Zakat membawa keberkatan harta untuk membersihkan harta daripada kotoran noda maksiat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 103 :
Maksudnya: “Ambillah wahai Muhammad, daripada harta mereka yang mengaku berdosa lalu bertaubat itu, sebagai sedekah untuk membersihkan dosa mereka serta menyucikan jiwa mereka dan doakanlah kebaikan untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menenangkan hati mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, keutamaan membayar zakat adalah di negeri yakni tempat harta-harta zakat itu diperolehi. Jika wang pencen itu diperolehi di Negeri Selangor maka adalah afdhal membuat potongan zakat dimana tempat wang pencen itu diperolehi melainkan terdapat halangan atau kesusahan untuk berbuat demikian.
Sekian, terima kasih.