BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan,

Saya nak tanya berkenaan najis anjing.

Ada satu hari saya bermain bola sepak bersama rakan-rakan saya, ketika kawan saya sepak bola, bola tersebut terkena najis anjing yang keras seperti batu/kayu, keadaan bola sewaktu dia terkena najis itu, saya tak pasti sama ada kering atau basah, kerana 30 minit sebelum kejadian berlaku, bola itu termasuk dalam longkang, dan kami basuh bola tersebut dengan air mutlak.. Jadi saya tak pasti waktu bola tu kena najis, bola itu basah atau tak. Lepas kejadian, saya hanya anggap "tak apa tahi itu kering" dan lantas saya pegang bola tersebut dan main seperti biasa. Lepas habis main bola, saya balik dan pegang handphone untuk tengok masa dan bergegas membasuh tangan dan kaki dengan sabun.. setelah solat isyak, secara tiba-tiba saya rasa tak sedap hati dan google kes saya ini.

Persoalaan saya,

1. Adakah saya perlu sertu handphone saya? Dan juga lantai rumah saya? Bagaimana dengan barang-barang lain, kena sertu juga?

2. Adakah barang yang pernah disentuh itu sudah menjadi najis?

Sebelum mengakhiri, sewaktu bermain bola, saya hanya memakai selipar. Saya sertu tangan dan kaki saya pada keesokkan hari kejadian berlaku. Sekarang saya berasa sangat was-was dan tak senang duduk dan juga tak sedap hati, ia lah saya khuawatir barang di rumah saya adalah najis anjing yang berpindah.

Sekian terima kasih, tuan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan. 

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was berkaitan tangan tersebut, maka ianya kekal bersih dan suci. Sehubungan itu.

1) Najis hanya berpindah jika ada kesan yang nyata sama ada dari sudut warna, bau dan rasa. Tidak perlu sertu handphone, lantai rumah, atau barang lain, kerana najis tidak berpindah jika kering. 

2) Tidak perlu menganggap barang lain sudah disentuh menjadi najis, kecuali ada kesan nyata terdapatnya najis.

3) Tidak berlaku sebarang perpindahan najis ke atas setiap barang yang telah disentuh di dalam rumah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 29

message user image