Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada 2 soalan:
Rukun iman ada 6:
Beriman kepada Allah s.w.t. |
Beriman kepada nabi-nabi |
Beriman kepada kitab-kitab |
Beriman kepada malaikat-malaikat |
Beriman kepada hari kiamat |
Beriman kepada qada' dan qadar |
Mungkin,
1. Bagaimana rukun iman yang lain tu nak apply setiap satunya?
Di akhirat nanti nabi akan menyelamatkan umatnya yang beriman daripada neraka
2. Orang yang ada iman sebesar zarah pun nabi akan selamatkan kan? Macam mana yang dikatakan iman yang sebesar zarah tu?
Mohon pencerahan
Jawapan
1. Sebelum mengetahui bagaimana cara melaksanakan setiap rukun iman, makna iman perlu difahami sebaiknya. Dari sudut bahasa, iman adalah percaya, yakin dan membenarkan. Manakalah makna syarak adalah percaya dengan hati, mengaku iaitu percaya dengan hati, mengaku dengan lidah, dan beramal dengan anggota. Beriman kepada rukun-rukun iman bukan sekadar melakukan ibadah, tetapi mempercayainya dengan hati sebenar-benarnya. Hadis masyhur berkaitan iman ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab r.a, menceritakan:
Maksudnya: ………………. Lelaki itu berkata lagi: Khabarkanlah kepada ku tentang iman? Rasulullah SAW menjawab: Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk. Lelaki itu berkata: Benar katamu!..................... (Riwayat Muslim)
Oleh itu, perbuatan mestilah didahului dengan iktiqad dalam hatinya bahawa segala rukun iman yang enam itu dipercayai sepenuhnya. Bagaimana hendak dilaksanakan (apply) bagi rukun-rukun iman yang bersifat perkara ghaib adalah mempercayainya bahawa semua itu wujud, ada dan akan berlaku (hari kiamat) tanpa ragu-ragu serta syak.
2. Iman sebesar zarah itu hanyalah misalan atau perumpamaan sahaja yang menunjukkan selagi ada iman sehalus dan sekecil zarah sekalipun Allah SWT tetap akan memasukkannya ke dalam syurga. Ada juga Allah SWT menggambarkan kehalusan iman dengan sekecil biji sawi, sebagaiman riwayat Abu Sa’id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:
Maksudnya: “Ahli syurga akan masuk ke dalam syurga dan ahli neraka akan masuk ke dalam neraka.” Kemudian Allah SWT berfirman: “Keluarkan dari neraka sesiapa yang ada di dalam hatinya iman walaupun hanya sebesar biji sawi.” (Riwayat al-Bukhari)
Tidak perlulah kita memikirkan secara terperinci sekecil apa dan bagaimana zarah itu sehingga membawa kepada hal-hal yang tidak penting. Cukuplah kita mengetahui betapa pemurah dan rahmatnya Allah SWT ke atas hambanya walaupun iman yang ada hanya tinggal sehalus atau sekecil zarah dan akhirnya balasan diterima adalah syurga. Namun harus diingat, walaupun amalannya sebesar gunung uhud sekalipun, tetapi tiada iman di hatinya (kafir, munafiq) walaupun sekecil pasir di lautan, maka ianya sia-sia sahaja dan nerakalah tempat ia kembali.
Sekian, terima kasih