Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya sudah berkahwin dgn suami 14thn dan dikurniakan 2 Anak lelaki & 2 Anak perempuan.
Saya Ada soalan ingin ditujukan seperti Di bawah:-
1)Saya ingin bertanya apakah jatuh talak jika suami menuduh isteri ada lelaki dtg rumah untuk berzina bila suami bekerja,sedangkan isteri berani bersumpah depan suami tidak buat benda itu dan suami tiada saksi pun berkata demikian.Dan Suami tidak mengaku die menuduh isteri nya begitu selepas die terlepas ckp Tu.
2)Apakah boleh isteri minta cerai sekiranya suami bagi duit setiap bulan tapi di suruh bayar bil2 di rumah dan baki duit selepas di bayar bil2 itu suami bagitahu baru duit nafkah isteri dan Apa hukum Suami selalu maki isteri depan Anak2?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan :
1. Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya. Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji. Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, syara menganggap perbuatan menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (qazaf) termasuk antara dosa-dosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Yang maksudnya : Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya : Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tuduhan itu tidak menyebabkan pasangan tertalak atau tercerai, tetapi suami dibenarkan untuk melakukan li’an (sumpah laknat) sekiranya dia ingin menafikan nasab anak sekiranya mengetahui secara yakin anak tersebut bukan anaknya berdasarkan bukti yang ada, dan li'an ini akan menyebabkan pasangan tertalak atau tercerai selama-lamanya.
2. Di dalam Islam, isteri boleh memohon perceraian samada dengan cara :
a) Perceraian dengan lafaz talak oleh suaminya
b) Fasakh
c) Cerai taklik
d) Tebus talak/ Khulu‘
Walaubagaimanapun, alasan permohonan isteri tersebut hendaklah dibuktikan dengan bukti yang kukuh dan selaras dengan alasan yang dibenarkan syara atau dapat dibuktikan dengan keterangan saksi-saksi yang mengetahui permasalahan pasangan tersebut.
3. Perbuatan suami yang memaki isteri, merupakan satu perbuatan yang dilarang dalam islam kerana ianya boleh menimbulkan perkelahian yang berpanjangan. Malah ia boleh mengguris hati pasangan. Perbuatan sebegini juga boleh menghilangkan keberkatan dalam rumah tangga. Isteri berhak untuk menegur perbuatan suami dengan cara yang baik terhadap perbuatannya memaki atau menghina isteri tersebut. Jika keadaan masih lagi belum berubah dan isteri tidak berjaya menasihati suaminya tersebut, maka isteri boleh mengadu kepada hakim di atas perbuatan yang dilakukan oleh suaminya terhadap dirinya itu.
Sekian, terima kasih.