Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ada pertanyaan, apa hukumnya kalau si isteri tidak menghalalkan duit untuk si suami ingin menaja umrah perempuan dan anaknya (yang ada hubungan istimewa.Janda yang si suami obses) Sedangkan nafkah isteri dan anak-anak tak lancar. Sedangkan dari segi kelayakan, janda tersebut seorang bekerjaya di bank swasta dengan gaji beribu ringgit. Dari segi kewangan si suami memang tak mampu, Tetapi kerana ingin menarik perhatian perempuan tersebut dia sanggup berbelanja termasuk tiket umrah dan beberapa barang lain. Saya tahu si suami memang tiada simpanan kecuali EPF. Persoalan... Mabrur kah ibadah umrah perempuan tersebut. Sebab menyakitkan hati si isteri dan menzalimi anak-anak yng masih bersekolah. Terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak pula ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.
Berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi R.A telah bertanya kepada Nabi SAW:
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Baginda menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah. (Riwayat Abu Daud)
Sehubungan dengan itu, majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara:
Jadi secara kesimpulannya, suami wajib mengutamakan nafkah isteri dan anak-anak sebelum membelanjakan hartanya untuk orang lain. Sekiranya dia mengabaikan tanggungjawab nafkah demi membiayai umrah pihak lain yang tidak menjadi keutamaannya, maka itu adalah satu kezaliman terhadap isteri dan anak-anak. Hal ini kerana nafkah adalah amanah yang perlu dilunaskan dalam rumahtangga. Seandainya suami mempunyai wang lebihan, maka dia perlu memberi keutamaan dalam melunaskan hak isteri dan anak. Oleh itu, seseorang Isteri berhak menuntut nafkah yang yang belum diterima kerana ia melibatkan hak yang belum ditunaikan. Dari sudut kemabruran umrah, ibadah tersebut boleh terjejas jika dibiayai dengan cara yang menzalimi pihak lain, kerana Allah SWT hanya menerima yang baik dan halal. Jika suami memaksakan diri membelanjakan wang yang tidak sepatutnya demi menarik perhatian pihak lain maka ia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan ajaran Islam.
Sekian, terima kasih.