Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assamualaikum tuan Mufti yang dihormati . Saya Muhammad Emir luqhman bin Md Zin , berumur 32 tahun . Saya tiada pekerjaan tetap. Buat masa ni , saya hanya melakukan pekerjaan sebagai "lalamove driver" sebagaj sumber pendapatan saya. Umum mengetahu bahawa gaji pekerjaan ini adalah berdasarkan komisyen mengikut pada pesanan yang diterima dan diselesaikan. Bermakna ada pesanan ada gaji, tiada pesanan , tiadalah gaji . Tujuan saya menulis di borang pertanyaan ini adalah disebabkan kegusaran hati saya tentang keberkatan dan adakah ianya sesuatu yang berdosa untuk saya mengenai 2 pesanan yang saya terima baru baru ini . Sebelum saya mengajukan pertanyaan saya. izinkan saya kongsikan cara "mechanism" sistem aplikasi lalamove.
*Untuk pengetahuan Tuan Mufti , aplikasi yang digunakan oleh pengguna dan "driver" adalah dua aplikasi yang berbeza .
Pesanan yang dibuat oleh pengguna , boleh mengikut kehendak yang sesuai oleh pengguna. Pesanan yang diterima di dalam aplikasi boleh dipilih untuk diterima oleh "driver" mengikut pada kehendak dan kesesuain driver itu sendiri. (sebagai contoh pada satu satu masa , pesanan yang diterima dalam aplikasi berjumlah 20 pesanan , "driver" boleh pilih mana yang sesuai untuk di ambil mengikut harga , arahan, jarak , masa dan lain lain.) Maksima pesanan yang boleh diambil adalah 2 pesanan .
* CARA PENGGUNA DAN "DRIVER" MENGGUNAKAN APLIKASI
1) Pengguna akan membuat pesanan di dalam aplikasi dengan menetapkan sendiri tempat mengambil dan menghantar pesanan . Pengguna akan memilih masa untuk pesanan di hantar . Pengguna akan memilih tahap kecepatan servis penghantara yang mereka perlukan . Pengguna memilih cara bayaran . Pengguna boleh memilih untuk menambahkan servis pintu ke pintu kika diperlukan . Pengguna boleh menambahkan jumlah jumlah bayaran tambahan yang mereka ingin tawarkan (harga asal pesanan adalah mengikut jarak , servis yang dipilih, harga ini telah ditetapkan oleh pemilik aplikasi iaitu lalamove) . Pengguna juga boleh menambahkan apa apa maklumat , arahan tambahan , jenis barang yang perlu dihantar atau apa apa sahaja di satu bahagian yang dipanggil "nota pesanan". Nota pesanan itu bukanlah sesuatu yang diwajibkan oleh pengguna untuk pengguna mengisi ruang itu .
2) Sistem aplikasi lalamove driver berbeza dengan aplikasi penghantaran syarikat lain . Ada syarikat yang menggunakan kaedah "auto accept" , untuk lalamove tidak menggunakan kaedah seperti itu . Kaedahnya adalah , driver boleh memilih mana mana order yang masih tersedia di dalam aplikasi mengikut kesesuaian dan kehendak driver sendiri .
3) Pada satu satu masa yang puncak , setiap saat beberapa pesanan baru akan masuk didalam aplikasi . Pesanan yang masuk adalah rawak . Kebiasaannya driver akan memilih pesanan yang berdekatan untuk diambil dan harga yang ditetapkan adalah berbaloi dan masuk akal . Ada beberapa tahap atau langkah yang perlu dilakukan oleh "driver". Didalam tahap pertama , sistem akan menunjukkan jarak pesanan untuk diambil , jumlah bayaran, servis , nota (jika ada) . Katakan pada jam 12.00pm ada 30 pesanan yg masih tersedia dan ada pesanan yang baru masuk berjarak 1km dari tempat saya menunggu masuk dengan harga , arahan dan masa yang sesuai , saya akan cepat cepat bagi respon di aplikasi untuk mengambil pesanan tersebut , ini kerana kami perlu berebut untuk mendapatkan pesanan itu . Senang kata , siapa cepat dia dapat . Selepas pesanan itu di sahkan dapat kepada saya , langkah yang perlu dilakukan adalah menghubungi pihak pengguna yang buat pesanan (kebiasaannya ada 3 nombor yang diberi . Pengguna yang buat order , PIC yang akan memberi barang dan penerima) , untuk memastikan alamat yang diberikan adakah betul atau tidak, memberitahu berapa lama kita akan sampai ke destinasi mengambil barang, dan menanyakan barang apa yang perlu dihantar . Jika semua sudah selesai, semuanya ok , "driver" akan pergi mengambil barang . Jika semuanya tidak ok, ada unsur yang mencurigakan atau sebagainya "driver" boleh membatalkan pesanan atau boleh meminta untuk pengguna membatalkan pesanan . (Setiap pembatalan pesanan yang dilakukan oleh "driver" akan memberikan kesan seperti rating "driver akan jatuh" , di block aplikasi untuk "driver" mengambil pesanan untuk 10 minit, dan yang lebih teruk akan di ban jika terlalu kerap membatalkan pesanan. Pesanan yang dibatalkan pengguna saya kurang pasti samada memberikan kesan atau seperti di ban dan rating jatuh kepada driver , yang pasti "driver tidak akan di block untuk beberapa minit) .
* Berbalik kepada pertanyaan saya adalah mengenai menghantar pesanan yang ada minuman arak dan makanan tidak halal. Alhamdulillah selama saya melakukan pekerjaan ini, jika didalam pesanan itu telah ditulis oleh pengguna siap siap di nota , ada arak , makanan tidak halal dan perkara yang haram saya tidak akan sesekali dengan sengaja mengambil pesanan itu .
Persoalan saya disini adalah dalam keadaan tidak sengaja . Perkara ini terjadi baru baru ini , ada dua pesanan yang mengelirukan yang saya terima . Dan perkara yang mengelirukan itu saya sedar setelah saya sampai di destinasi dan setelah saya selesai melakukan prosedur yang saya terangkan di atas.
Situasinya seperti ini :
1) Saya difahamkan oleh pengguna (berbangsa cina) semasa saya menghubunginya bahawa alamat mengambil dan menghantar adalah betul , barang yang perlu dihantar adalah * BUNGA*. Dan dia minta saya hubungi No di bahagian PIC yang akan memberi barang bila dah sampai . Di dalam aplikasi hanya menyatakan alamat , jumlah harga , nombor telefon dan masa . Tiada nota tambahan yang diberikan . Kebiasaanya kami akan menghubungi PIC apabila sudah tiba dilokasi . Setelah saya tiba di lokasi , alamat yang diberikan adalah kedai tayar , tapi barang yang perlu dihantar adalah bunga . Disitulah baru saya tahu, bahawa PIC tu bukanlah PIC , dia adalah seorang "driver" juga (berbangsa melayu). Pesanan itu adalah pesanan kecemasan ataupun lebih dikenali sebagai "job sambung". Driver itu meminta untuk pengguna membuat pesanan baharu dengan beralamat kedai tayar yang dia terpaksa berhentikan kenderaan dia kerana ada masalah pada kenderaannya. Dia tidak dapat meneruskan perjalanan . Jadi dia menyerahkan bunga tersebut tanpa beritahu apa isi sebenar bunga itu . dia hanya menceritakan kejadian yang terjadi yang menyebabkan job sambung itu perlu dilakukan . Setelah hampir separuh jalan saya beredar dari situ barulah saya sedar , di dalam bunga itu terdapat beberapa botol arak bir yang tersembunyi dibalik bunga bunga itu . Saya melihat pada kad ucapan dibunga itu adalah hadiah graduasi kepada penerima. Dengan berat hati saya hantar sampai ke rumah penerima.
2) Situasi kedua sedikit berbeza. Seperti biasa setelah dapat pesanan , saya akan lakukan prosuder seperti yang ditetapkan . Semasa saya menghubungi pengguna , dia memberitahu barang yang perlu dihantar adalah hamper. Selepas kejadian di situasi pertama , saya ada terfikir , di musim hampirnya perayaan tahun baru cina, kebiasaannya mesti akan banyak pesanan menghantar hamper dan saya ada terfikir mungkin akan ada arak didalam hamper yang akan dihantar. Jadi semasa saya tahu dari pengguna tersebut bahawa hamper yang perlu saya hantar , malanya saya terlupa untuk menanyakan adakah ada arak di dalamnya atau tidak . semasa saya sudah berada di perkarangan alamat mengambil barang. saya baru teringat , yang saya lupa untuk tanya . Jadi semasa saya berjumpa dengan PIC di sana, saya nampak ada botol dalam hamper dan saya tanyakan botol apakah itu? Ternyata itu adalah arak . Malangnya saya dengan berat hati mengambil jugak hamper itu dan menghantarnya . saya tidak dapar untuk membatalkan pesanan , kerana saya sudah sampai dan sign DO pesanan yg diberi PIC , serta rating saya dah banyak jatuh dari maksima 4 bar , ke 1 setengah bar. Saya risau saya akan di ban jika saya memaksa untuk pengguna membatalkan pesanan ketika itu . saya amat amat perlukan kerja ini, memandangkan kerja ini sahajalah yang saya boleh buat masa sekarang untuk menyelesaikan ssgala masalah kewangan, bayaran rumah , komitment lain, nafkah dan yang paling merisaukan untuk mengumpul wang untuk persedian isteri saya bersalin .
Saya memohon untuk tuan mufti jawab persoalan saya ini dengan jawapan yang jelas dan mudah untuk saya faham dari sisi Agama islam.
Adakah saya berdosa seperti meminum arak dengan situasi saya seperti yang saya ceritakan diatas?
Adakah berkat dan halal pendapatan saya itu?
Adakah berkat dan halal jika saya gunakan duit itu untuk menyara keluarga?
Jika saya berdosa dan gaji itu tidak berkat dan halal , apa yang saya perlu lakukan?
saya ucapakan terima kasih pada mufti terlebih dahulu jika tuan mufti dapat membaca dan menjawab persoalan saya ini .
Jawapan
Pada asalnya, mereka yang membawa arak termasuk dalam golongan yang berkaitan dengan dosa arak. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat al-Tirmizi)
Asas yang kedua adalah seseorang tidak dituntut untuk menyelidik barang yang diterima secara mendalam, cukup sekadar menghukum secara zahir sekiranya barang tersebut adalah bunga atau hamper, maka secara zahirnya barang tersebut adalah harus. Walau bagaimanapun, berdasarkan situasi yang diterangkan, iaitu driver tidak tahu atau tidak dapat dipastikan barang yang dihantar, kemudian mengetahui ianya arak setelah menerima permintaan penghantar. Jika menolak permintaan penghantaran setelah menerimanya boleh memberi kesan kepada pendapatan, maka dalam situasi ini adalah dibenarkan dengan syarat tidak meredai arak tersebut. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)
Namun, hasil pendapatan khusus bagi penghantaran makanan haram hendaklah disalurkan kepada pihak baitul mal sebagai pembersihan harta serta berazam tidak akan mengulanginya.
Sekian, terima kasih.