Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum menggunakan duit tabung khairat kematian untuk pembangunan fizikal masjid
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan oleh seseorang itu hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma. Sebagai contoh, apabila seseorang yang menyumbang wang dermanya kepada tabung-tabung khas untuk pengurusan anak yatim, maka duit tersebut hanyalah digunakan kepada tujuan tersebut sahaja dan bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma).
Pewujudan tabung khairat kematian biasanya ditubuhkan untuk membantu ahli atau keluarga ahli dalam urusan kematian, seperti pengurusan jenazah, pengkebumian dan bantuan kewangan kepada keluarga selepas kematian. Justeru, hukum menggunakan duit tabung khairat kematian untuk pembangunan fizikal masjid adalah tidak dibolehkan kerana tabung tersebut telah ditentukan dengan tujuan dan niat yang khusus. Justeru, disarankan bagi sesebuah masjid itu agar menyediakan tabung khas bagi tujuan pembangunan fizikal masjid dan mewar-warkannya kepada masyarakat awam akan keperluan tersebut bagi makluman mereka.
Sekian, terima kasih.