BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, bolehkah Jabatan Mufti ulas mengenai situasi ini? Kawan saya merancang untuk bercuti, tetapi dengan niat yang tidak baik (contohnya: untuk minum arak). Dia turut mempertahankan niatnya dengan berkata, ‘Kita nak pergi bercuti dekat ___, bukan ke Mekah.’ Bagaimana pandangan Islam terhadap kenyataan dan niat seperti ini?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Dimulakan dengan memetik firman Allah SWT dalam surah al-Maidah :90

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, minum arak adalah perbuatan haram yang telah disepakati oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijmak para ulama dan ia dikira perbuatan maksiat serta dimurkai oleh Allah SWT.  Begitu juga dengan niat untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah (seperti minum arak) adalah niat yang salah dan berdosa kerana bertentangan dengan hukum syarak. Justeru, hukum melancong bagi tujuan meminum arak adalah berdosa di sisi syarak dan dianggap sebagai safar maksiat (musafir yang maksiat). Hal ini bertepatan dengan kaedah menyatakan bahawa;

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat. 

Oleh itu, setiap perbuatan kita dikira buruk dan baiknya mengikut niatnya dari mula lagi, maka bercuti bagi tujuan ingin meminum arak termasuk dalam perbuatan maksiat dan haram. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image