Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum izinkan saya bertanya tentang hukum berkaitan muamalat atau jual beli .
Tajuk / point utama nya berkaitan jual beli akaun game contoh seperti game mobile legends , pubg , free fire
Soalan kali ini mungkin lebih ceritakan situasi yang lebih dalam .
tujuan saya bertanya kerana ramai remaja berumur 13-18 tahun, malah orang dewasa berumur 20-30 tahun, terlibat dalam aktiviti jual beli akaun game. Saya sendiri sebagai admin dalam grup jual beli akaun merasa bertanggungjawab untuk mengetahui hukum sebenar.
Jika hukumnya dibenarkan, saya akan terus membenarkan mereka jual beli tanpa perlu menegur. Tapi, jika hukumnya tidak dibenarkan, maka saya rasa perlu untuk menegur mereka.
Akaun yang dijual pula bukan murah rata-rata nilai satu akaun antara RM200 hingga RM1,000. Setiap hari, beratus atau beribu orang terlibat dalam jual beli akaun game ni. Jadi, saya sangat memerlukan penjelasan yang jelas mengenai hukum jual beli akaun game ini.
sebelum lanjut pertanyaan izinkan saya jelaskan dulu ringkas apa itu akaun game , supaya mudah faham
Penjelasan tentang Akaun Game:
Akaun game ialah akaun digital yang digunakan oleh setiap pemain untuk bermain game seperti Mobile Legends (MLBB), PUBG, dan Free Fire (FF). Akaun ini menyimpan data dan pencapaian pemain, termasuk:
1. Skin dan Item: Rekod pakaian, senjata, atau aksesori dalam permainan yang boleh dibeli di shop atau diperoleh melalui spin semasa event.
2. Keseluruhan Kandungan Akaun: Setiap akaun berbeza berdasarkan usaha, pembelian, dan pencapaian pemain dalam permainan.
Nilai akaun bergantung pada:
Jumlah dan jenis skin atau item yang dimiliki.Sama ada skin/item tersebut diperoleh melalui pembelian langsung atau spin dalam event tertentu.Rarity (keistimewaan) skin atau item, terutama jika ia limited edition.
Contoh:
Dalam MLBB, skin seperti "Legend" atau "Collector" biasanya memerlukan spin semasa event, dan ia menaikkan nilai akaun. Bagi PUBG dan FF, akaun dengan koleksi pakaian, senjata, atau rare item biasanya lebih mahal berbanding akaun biasa.
KEDAI/SHOP DI DALAM GAME
Didalam shop game ni boleh beli skin, hero , kelengkapan untuk bermain dan lain - lain item . Shop game ni sudah tersedia harga tetap (tiada unsur judi) yang mana kita akan dapat apa yang kita nak dengan nilai yang diketahui.
EVENT SPIN
Tujuan event spin ni adalah untuk pemain dapatkan skin atau item yang limited atau jarang dimiliki
Penjelasan Event spin :
1. Event spin diadakan setiap bulan
2. Setiap bulan diadakan event yang berbeza-beza (berbeza skin atau item) mengikut kolaborasi pihak game dengan pihak sponsor
Contoh event spin collab
- Event collab mlbb x ducati (brand motor )
- Event collab mlbb x jujutsu kaisen ( anime )
3. Setiap event ada tempoh masa dan setiap event tempoh masanya berbeza . Ada yang event nya 10 hari , 20 hari atau 30 hari
Ini sahaja soalan berkaitan jual beli akaun dan penjelasan nya .
Berikut soalan berkaitan midman atau orang tengah yang menguruskan urusan jual beli.
soalan ini adalah jika hukum jual beli akaun tidak dibenarkan .
Soalannya ialah :
1. Jika jual beli akaun tidak dibenarkan maka apakah hukum menjadi midman yang mana menguruskan jual beli buyer dan seller.
Midman sangat penting dalam urusan ini untuk mengelakkan buyer di scam. Kerana sekarang hampir tiap hari ada mangsa scam. salah satu sebab kerana tidak menggunakan midman atau orang tengah , sehari dianggarkan 50+ kes scam di malaysia dan Indonesia. Nilai kerugian jika di totalkan keseluruhan sehari mungkin rm1000-rm10,000 . Anggaran dan analisis ini diambil mengikut report dari mangsa dari Malayasia & Indonesia . Jika di total keseluruhan sehari boleh capai begitu. Rata - rata umur yang terjebak dengan aktiviti ini ialah 14-20 tahun .
saya minta pihak mufti yang arif untuk mengkaji lebih dalam , kerana ini melibatkan ramai anak muda .
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara umum permainan atau game secara online seperti PUBG /Mobile Legends/ Free Fire dan sebagainya adalah diharuskan. Walau bagaimanapun sekiranya di dalam permainan tersebut terdapat unsur yang diharamkan dari segi syarak seperti perjudian, gambar lucah yang menggairahkan dan sebagainya, maka permainan tersebut menjadi haram. Berdasarkan kenyataan yang diberikan terdapat aktiviti cabutan spin dengan bayaran tertentu, ia dianggap sebagai judi yang menjadikan permainan tersebut menjadi haram. Seandainya permainan tersebut haram untuk dimainkan, maka menjual permainan tersebut, atau akaun tersebut adalah haram.
Di samping itu juga, sekiranya terdapat perjanjian yang ditetapkan oleh pemilik permainan tersebut yang mensyaratkan tidak membenarkan penjualan akaun, maka penjualan akaun tersebuat dianggap salah dari segi undang-undang dan syarak. Ini adalah kerana seseorang itu terikat dengan syarat atau perjanjian yang dia persetujui, sama ada permainan tersebut berbayar atau tidak berbayar, selama perjanjian tersebut tidak bercanggah dengan syarak, ia wajib dipatuhi.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 1:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian
Adapun hukum menjadi midman (orang tengah) adalah bergantung kepada pengisian yang ada di dalam game atau permainan tersebut. Sekiranya permainan tersebut mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti perjudian, elemen mensyirikkan Allah SWT atau apa-apa unsur lain yang diharamkan oleh syarak, maka ia menjadikan perbuatan menjadi midman menjadi haram. Namun jika tiada unsur-unsur yang diharamkan maka hukumnya adalah harus. Perlu diingatkan bahawa sebab yang menjadikan sesuatu perkara itu haram ada dua iaitu:
1. Haram Lizatihi - haram kerana zat sesuatu itu sudah ditetapkan oleh syarak sebagai haram seperti anjing, babi, judi, arak dan lain-lain lagi
2. Haram Lighairihi - sesuatu yang pada asalnya halal tetapi menjadi haram kerana disebabkan sesuatu perkara lain yang berkait dengannya seperti memakan ayam yang dicuri, bermain permainan yang pada asalnya harus tetapi bermain sehingga lalai dari mendirikan solat dan lain-lain lagi.
Secara umumnya selagi sesuatu permainan itu tiada unsur yang diharamkan maka harus menjadi midman. Tetapi jika wujud unsur yang diharamkan, maka hasil yang diperolehi juga adalah haram.
Sekian, terima kasih