Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMMUALAIKUM...
MOHON UNTUK MENDAPATKAN NASIHAT DAN KHIDMAT NASIHAT BERKENAAN WANG SIMPANAN.
SEMASA HIDUP, NENEK SAYA TELAH MENYERAHKAN RM3,000.00 SECARA TUNAI KEPADA IBU SAYA UNTUK DISIMPAN. BAGI MENGELAKKAN BERLAKU KEHILANGAN, IBU SAYA TELAH MEMASUKKAN WANG TUNAI BERKENAAN KE DALAM AKAUN TABUNG HAJI IBU SAYA DIMANA BERCAMPUR DENGAN WANG SIMPANAN IBU. SEHINGGALAH BERLAKU PENIPUAN OLEH SCAMMER, IBU SAYA TELAH MENGELUARKAN SEJUMLAH WANG SIMPANAN BERKENAAN NAMUN MASIH ADA BAKI DI DALAM AKAUN TABUNG HAJI IBU. NENEK SAYA MENUNTUT UNTUK MENDAPATKAN WANG SIMPANANNYA NAMUN IBU SAYA BERTEGAS BAHAWA WANG SIMPANAN BERKENAAN TELAH TIADA AKIBAT BERLAKU PENIPUAN SCAMMER. UNTUK MAKLUMAN, IBU SAYA MEMPUNYAI PENDAPATAN BULANAN TETAP DAN SIMPANAN YANG AGAK BANYAK HASIL DARIPADA PELBAGAI SUDUT.
BARU-BARU INI NENEK SAYA TELAH MENINGGAL DUNIA DAN TIADA DIKALANGAN KELUARGA YANG BERANI UNTUK MEMPERSOALKAN PERKARA INI. MOHON KHIDMAT NASIHAT DAN KEPAKARAN TUAN DARI SUDUT AGAMA BERKAITAN ISU INI.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Wang yang telah diberikan oleh nenek kepada ibu puan adalah amanah yang diterima oleh ibu puan dan wajib dipulangkan kepada pemiliknya atau warisnya selepas kematian nenek. Sekalipun wang tersebut hilang akibat penipuan scammer, namun ia menjadi tanggungjawab kepada si ibu untuk menggantikannya kerana berlaku kecuaian dalam mencampurkan wang amanah dengan simpanan sendiri. Tambahan pula, wang yang perlu digantikan itu telah dihukumkan sebagai harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kepada waris-waris yang berhak. Oleh itu, si ibu wajib mengembalikan jumlah tersebut mengikut hukum faraid kepada waris yang berhak menuntutnya secara baik agar hak setiap ahli keluarga terpelihara menurut syarak.
Sekian, terima kasih