BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya seorang balu yang mendapat pencen ilat (socso@perkeso) arwah suami saya pada setiap bulan.

Soalan saya, adakah pencen ilat tersebut patuh syariah? Sekiranya tidak, adakah saya boleh menggunakannya dan apakah yang sepatutnya perlu dibuat oleh saya terhadap pencen tersebut?.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara umumnya, pencen ilat merupakan salah satu bentuk bantuan sosial yang diberikan oleh organisasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Malaysia kepada pekerja yang tidak lagi mampu bekerja akibat keilatan. Pencen ilat yang diterima selepas kematian arwah dikategorikan sebagai pencen terbitan iaitu pencen bulanan yang terbit disebabkan oleh kematian anggota/ pesara sektor awam, dibayar kepada tanggungan anggota/ pesara seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pencen. 

 Untuk makluman juga bahawa Pencen ilat yang dikelolai oleh PERKESO adalah bantuan yang patuh syariah malah waris yang menerima pencen terbitan tersebut berhak menggunakan manfaatnya untuk tujuan kegunaan peribadi. Namun perlu diingatkan bahawa segala harta dan manfaat yang dimiliki daripada pencen terbitan tersebut sewajarnya digunakan dengan bijaksana dan sebaiknya. Harta bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga, tetapi juga menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan bersedekah kepada yang memerlukan dan melabur dalam perkara yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Harta yang dibelanjakan di jalan Allah SWT akan dilipatgandakan pahalanya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah ayat ke 261:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Oleh itu, setiap perbelanjaan hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas dan pengurusan yang teliti, agar harta yang dimiliki menjadi sumber keberkatan di dunia dan akhirat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 46

message user image