BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

saya ada kemuskilan mengenai bernazar. 

Saya pernah bernazar sekiranya saya dapat kerja kerajaan saya akan qurban kan seekor lembu, puasa seminggu, dan berhenti merokok

ada beberapa kali saya bernazar mengikut bilangan saya mendapat temuduga, setiap kali bernazar selepas temuduga saya akan menggunakan salah 1 nazar di atas.

saya sudah dapat kerja kerajaan dan disebabkan banyak panggilan temuduga saya terlupa apa nazar yang saya niatkan. 

bagi menunaikan nazar saya, saya berniat untuk melakukan kesemuanya kerana takut terlepas janji yang saya buat pada Allah S.W.T. 

untuk puasa dan henti merokok saya tiada masalah kerana perkara tersebut insyallah boleh dilakukan 

cuma qurban lembu seekor saya ada persoalan 

1. boleh ke saya buat qurban bayar nazar pada raya haji.

2. boleh terangkan cara yang paling afdal bagi bayar nazar qurban tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah SWT). Hal Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Hajj ayat ke 29 :

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Dan sebuah hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan pertanyaan tuan, apabila sesuatu perkara yang dihajatkan telah tertunai maka diwajibkan bagi diri tuan untuk melakukan qurbah sebagai balasan kerana memperolehi nikmat atau hajat yang tuan inginkan itu. Oleh itu, diwajibkan bagi tuan menyempurnakan nazar untuk melaksanakan ibadah qurban dan berpuasa. Adapun perbuatan meninggalkan tabiat merokok tidak diambil kira sebagai nazar kerana ia jelas merupakan bentuk maksiat yang sememangnya dituntut oleh agama untuk ditinggalkan kerana membawa mudarat kepada tubuh badan. Selain itu, nazar boleh dilaksanakan pada bila-bila masa selagi tidak diniatkan dengan waktu yang khusus, seandainya tuan bercadang ingin melaksanakan qurban nazar pada hari raya haji maka ia dibolehkan. Perlu difahami bahawa qurban nazar ialah qurban yang wajib ditunaikan dan daging qurban tersebut tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan qurban tersebut serta ahli keluarga yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Hal ini kerana qurban yang dilaksanakan tersebut wajib untuk disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin. Justeru, sekiranya tuan telah bernazar untuk melaksanakan qurban bagi seekor lembu maka ia perlu dilaksanakan kerana niat nazar tersebut telah dita'yinkan (dikhususkan) untuk seekor lembu dan bukan pula untuk satu bahagian lembu. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 33

message user image