BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum YB Ustaz,

Saya ada kemusykilan berkenanaan tanggungjawab menjaga ibu tiri setelah kematian bapa kandung. Bapa saya telah berkahwin lagi dengan ibu tiri saya setelah kematian ibu kandung semasa saya di sekolah rendah.

Hasil perkahwinan bapa dengan ibu kandung saya adalah 3 orang anak lelaki dan dengan ibu tiri saya 1 orang anak lelaki (adik bongsu). Maka jumlah kesemua adik-beradik kami adalah 4 orang lelaki dengan 1 bapa.

Setelah kematian bapa saya, ibu tiri saya telah tinggal seorang diri sahaja dah semua anak-anak sudah berkeluarga dan merantau.

Soalan saya:

1) Siapakah yang bertanggungjawab bagi menjaga ibu tiri saya selepas kematian bapa kandung? Kami berpandangan kewajipan tersebut jatuh kepada adik bongsu kerana dia adalah anak kandung ibu tiri saya. Walaubagaimanapun, adik bongsu berpandangan kewajipan tersebut jatuh kepada kami 3 orang adik-beradik kerana kami adalah abang-abang.

2) Adakah berdosa kami 3 orang adik-beradik ibu kandung sekiranya kami hanya menziarahi sekali-sekala dan cuma memberi nafkah sekadar termampu sahaja? Kami berpandangan bahawa kami wajar menghormati ibu tiri setelah kematian bapa, tetapi tanggungjawab menjaga ibu tiri sepatutnya jatuh kepada adik bongsu selepas tempoh iddah.

3) Adik bongsu saya sudah dewasa dan sudah berkahwin serta mempunyai anak. Adakah menjadi tanggungjawab kami juga untuk memberi nafkah kepada keluarga adik bongsu kerana dia tidak berkerja?

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Kedudukan ibu tiri adalah sama seperti ibu kandung, hal ini kerana ibu tiri juga merupakan ibu yang sah (mahram) kepada anak suaminya walaupun statusnya adalah anak tiri. Bagi seseorang anak selama-lamanya tidak boleh bernikah dengan ibu tiri walaupun telah bercerai atau kematian suaminya. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa' ayat ke 22:

وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُمْ

Maksudnya : Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu.

Justeru, tanggungjawab mengurus dan memberi nafkahnya semasa tempoh iddah (kematian suami) jatuh kepada ahli waris suaminya. Ibu tiri juga berhak mendapat harta pusaka suaminya. Namun begitu, oleh kerana ibu tiri mempunyai anak kandung, maka keutamaan menjaganya itu jatuh kepada anak kandungnya mengikut kadar kemampuannya tanpa menafikan peranan adik beradik yang lain sekalipun berlainan ibu. Adapun tanggungjawab anak-anak tiri pula adalah memberikan kasih sayang dan keprihatinan kepada ibu tiri sebagaimana ibu kandung serta membantu adik beradik tiri dalam urusan menjaga ibu tiri mengikut kadar kemampuan mereka.

Berikutan pemberian nafkah kepada adik beradik pula, maka ia perlu difahami berdasarkan hadis Jabir bin ‘Abdillah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِك فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِك فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِك شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِك

Maksudnya: Mulakanlah dengan dirimu, nafkahkanlah buat dirimu. Jika ada lebihan, maka nafkahilah ahli keluargamu (isteri dan anak-anak), jika ada lebihan lagi maka berilah kepada keluargamu (seperti ibu, bapa, adik-beradik). (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis ini dengan menyatakan bahawa ia mengandungi beberapa pengajaran penting. Antaranya, apabila ingin memberikan nafkah atau hadiah, keutamaan perlu diberikan mengikut tertib yang dinyatakan dalam hadis tersebut, iaitu bermula dengan diri sendiri, diikuti oleh isteri, anak-anak, ibu bapa, dan seterusnya kerabat terdekat. Selain itu, jika terdapat percanggahan antara hak dan keutamaan, maka yang lebih pasti dan lebih kuat perlulah didahulukan. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/83).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 56

message user image