Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.Soalan saya ialah saya ada terpijak najis kucing beberapa minggu yang lepas.Tapi saya tak pasti adakah najis tersebut melekat dengan banyak di kasut saya.Lalu saya terus jalan dan masuk ke dalam kereta dan pijak pada karpet kereta.Pada masa itu saya tidak menghiraukan najis tersebut.Tetapi sekarang saya risau jika najis tersebut boleh menjejaskan ibadah saya kerana saya selalu pijak karpet kereta tersebut untuk ke surau.Jadi saya takut jika najis tersebut boleh menajiskan selipar yang saya pakai untuk ke surau dan sebagainya.
Saya mohon penjelasan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.Bolehkah saya anggap bahawa najis tersebut sudah hilang kerana saya sudah berjalan ke merata tempat.Dan saya tidak periksa pun tapak kasut saya ketika saya terpijak najis tersebut.
Saya mohon penjelasan kerana perkara ini buat saya tidak boleh tidur pada waktu malam.Saya sangat gusar.
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan:
Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci.
Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu dibersihkan atau disucikan. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak boleh menjadikan sesuatu itu menjadi bernajis.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan;
Kasut yang telah diyakini memijak najis kucing tersebut adalah bernajis dan boleh menajiskan tempat lain yang dipijak. Sekiranya pada karpet kereta terdapatnya najis kucing, maka ianya turut bernajis. Namun jika tidak dapat dipastikan pada karpet kereta tersebut terdapatnya najis tersebut, maka ianya adalah kekal bersih dan suci. Selipar yang digunakan untuk ke surau tidak akan menjejaskan ibadah tuan kerana kaki yang memakai selipar tidak bernajis. Berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka ia adalah suci.
Namun, setelah tuan mendapati terdapat kesan najis kucing pada kasut berkenaan, hendaklah dibuang terlebih dahulu ain najis tersebut seterusnya dibersihkan dengan air mutlak sehingga hilang sifat najis tersebut seperti bau, rasa atau warnanya.
Sekian, terima kasih.