BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya mahu tanya berkenan haid, saya selalu datang 15 hari 15 malam yang di mana 9 hari hitam 3 coklat dan berbau 3 kuning dan berbau. Jadi saya menganggap semua haid kerana masih berwarna dan berbau sepertimana yang saya belajar di sekolah dan kitaran ini berlangsung dari saya umur 16 tahun hingga 21 tahun. Namun terdapat sesetengah bulan saya datang 2 hari awal iaitu 13 hari suci yang di mana darah saya berwarna hitam dan berbau seperti darah haid. Apabila saya merujuk kepada ustazah di sekolah, mereka mengatakan bahawa kiraan haid perlu ikut darah keluar walaupun 2 hari awal, jadi saya meyakinkan bahawa darah yang keluar 2 hari awal adalah period kerana hitam dan berbau. Bagaimana kiraan haid saya ustaz dan bagaimana solat saya yang dahulu? Adakah perlu diganti walaupun sudah 5 tahun saya mengalami kitaran seperti ini? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, tempoh paling minimum (أقل الطهر) masa suci seseorang wanita antara dua haid adalah 15 hari 15 malam. Manakala kebiasaan tempoh suci ialah 23 atau 24 hari dan tiada had bagi tempoh sebanyak-banyak suci. Tempoh minimum suci antara haid ialah 15 hari merupakan pandangan jumhur (majoriti termasuk mazhab Shafi’i). Ia disokong oleh perubatan moden yang membuktikan bahawa tempoh suci mestilah lebih daripada 14 hari kerana kebiasaannya proses ovulasi pada waktu subur akan berlaku 14 hari sebelum haid seterusnya. Jika terdapat darah yang keluar sebelum sempurna tempoh minimum suci menunjukkan darah tersebut kemungkinan adalah darah fasad (penyakit) bukan darah haid dan memerlukan kepada penyempurnaan baki suci. Ini merupakan kebiasaan yang berlaku kepada kebanyakan wanita. 

Namun, jika tempoh suci tidak mencukupi tempoh minimum suci, dan ia berlaku kepada wanita tertentu yang berulang dan berterusan setiap bulan. Sebagai contoh tempoh sucinya adalah 15 hari pada bulan Januari, kemudian 13 hari suci pada bulan Februari dan berulang pada bulan-bulan seterusnya. Maka ia dianggap sebagai kejadian terpencil yang berlaku kepada wanita tertentu. Maka ia dianggap sebagai darah haid setelah meyakini dan meneliti sifat darah yang keluar itu mempunyai memenuhi syarat asas darah haid. Perkara ini hanya terpakai kepada wanita yang mempunyai permasalahan sebegini sahaja dan tidak terpakai kepada kebiasaan wanita lain yang tempoh minimum sucinya 15 hari. 

Jadi, berdasarkan kepada kenyataan puan, tempoh minimun suci puan adalah 13 hari, maka darah yang datang setelah tempoh tersebut adalah dianggap sebagai darah haid dan mempunyai sifat darah yang memenuhi syarat asas sifat darah haid. Adalah disarankan juga puan merujuk kepada doktor perubatan untuk memastikan tiada masalah kesihatan atau penyakit lain. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 40

message user image