Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan, sebulan yang lepas saya ada pergi ke kebun untuk melihat tanaman yang diusahakan dan saya mendapati ada beberapa tanaman telah dirosakkan oleh babi. Disebabkan itu saya pun pegang tanaman beserta tanah yang telah memiliki kesan sodok babi dengan niat untuk memperbetulkan semula tanaman tersebut namun tanah tersebut meninggalkan kesan ke atas telapak tangan dan saya terlap tangan di seluar. Selepas itu, saya terlupa untuk sertu tangan dan seluar yang dipakai. Disebabkan lupa saya hanya bilas tangan dan seluar dengan air sahaja dan memasukkan seluar ke dalam mesin basuh bersama pakaian ahli keluarga yang lain. Selepas beberapa hari baru saya teringat yang saya ade pegang tanah bekas babi dan segera sertu tangan dan seluar yang dipakai. Jadi soalan saya adakah saya perlu sertu keseluruhan pakaian ahli keluarga yang lain beserta peralatan rumah yang telah dipegang. Mohon pencerahan kerana perkara ini membuatkan saya risau dan ketakutan kalau ibadah saya atau keluarga saya tidak diterima atas perkara tersebut. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, kesan sodokan babi tidak mendatangkan najis pada tanah dan juga tangan tersebut dan tidak perlu disertu, melainkan jika terdapatnya najis babi pada sodokan tanah tersebut dan terkena pada tangan maka ia perlu disertu. Sehubungan itu, tidak perlu sertu keseluruhan pakaian ahli keluarga dan peralatan rumah yang telah dipegang kerana tiada najis babi pada tanah tersebut.
Sekian, terima kasih.