Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya tentang haid. Sekiranya pada hari kelapan cecair merah iaitu darah dah stop keluar tetapi masih keluar kekuningan yang banyak atau kerap sehingga hari ke 11 namun hari ke 12 masih juga keluar cecair kekuningan tapi kuantiti yang sedikit, adakah itu dikira masih haid? Dan sekiranya hari 13 dah keluar cecair putih tetapi cecair kuning masih keluar sedikit, adakah ia juga dikira haid?
Jawapan
Ibn Hajar al-Haitami dalam membahaskan warna haid mengatakan:
Maksudnya: Kekuatan dan kelemahan dikenali melalui warna, yang terkuat adalah hitam, kemudian yang memiliki garis-garis hitam, lalu merah, kemudian pirang, lalu kuning, dan yang paling lemah adalah yang keruh. Selain itu, juga dapat dikenali melalui ketebalan dan bau.
Maka, kebiasaan warna darah haid ialah kehitaman, merah, kuning atau warna keruh seperti tanah atau air kotor dan berbau. Cecair berwarna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid adalah termasuk dalam kategori darah haid apabila ia dilihat pada tempoh sekurang-kurang haid (24 jam) serta tidak melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari dan 15 malam). Imam al-Nawawi berkata:
Maksudnya: Ia melihat tempoh paling singkat haid, tetapi tidak melebihi tempoh maksimum, maka keseluruhannya dianggap haid. Dan warna kekuningan serta keruh juga dianggap haid menurut pendapat yang lebih sahih.
Merujuk kepada persoalan puan, cecair kekuningan yang keluar setelah cecair merah itu masih dikira darah haid. Adapun tempoh sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam, maka perlulah berhati-hati sekiranya darah keluar selepas daripada tempoh itu (iaitu selepas 15 hari) darah itu bukan lagi haid dan perlu mandi dan bersolat seperti biasa.
Sekian, terima kasih.