Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak tanya :
1) setiap kali saya perasan air mazi ada pada pakaian saya, saya hanya sapu sahaja dengan jari yang ada air mutlak sehingga saya tidak nampak kesan nya, adakah pakaian saya suci daripada najis itu?
2) Dan jika najis itu tidak suci dan saya solat menggunakan pakaian itu, adakah solat saya selama saya pakai pakaian tersebut tidak diterima dan menyebabkan saya murtad?
Mohon penjelasan, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara,
1) Tidak, cara itu tidak mencukupi untuk menyucikan pakaian daripada najis air mazi. Dalam mazhab Syafi'i, air mazi dikategorikan sebagai najis dan perlu dibersihkan dengan mengalirkan air mutlak ke atas kawasan yang terkena najis tersebut. Menyapu dengan jari yang basah tidak mencukupi, kerana ia tidak memastikan najis itu hilang sepenuhnya.
Sehubungan itu, tuan perlu membasuh kawasan yang terkena air mazi dengan air mutlak sehingga diyakini tiada lagi kesan najis atau cukup dengan menuangkan air mutlak ke tempat terkena najis tanpa perlu merendam atau membasuh keseluruhan pakaian. Maka, untuk memastikan pakaian suci, pastikan tempat yang terkena air mazi itu dibasuh dengan air mutlak, bukan hanya disapu dengan jari yang basah.
2) Tidak, solat yang dilakukan dengan pakaian bernajis tidak menyebabkan seseorang itu menjadi murtad. Oleh itu, jika seseorang mengetahui ada najis pada pakaiannya tetapi masih solat tanpa menyucikannya, maka solatnya tidak sah dan perlu diulang. Namun, jika seseorang tidak sedar bahawa pakaian itu bernajis sehingga selepas solat, maka solatnya tetap sah dan tidak perlu diulang kerana dia tidak sengaja.
Sekian, terima kasih.