Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Apakah hukum sekiranya kita terjumpa sesuatu barang berharga,contohnya seperti rantai emas @ cincin emas,kemudian kita tukarkan barang tersebut kepada wang,kemudian wang tersebut kita letak dalam tabung masjid atau dibahagikan kpd mana2 sekolah sbg sumbangan?
Jawapan
Merujuk kepada soalan berikut, harta yang tercicir ini disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Al-Luqatah. Berkenaan dengan harta Al-Luqatah selain haiwan, Nabi S.A.W pernah ditanya berkenaan dengannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid:
Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani,merupakan sahabat Rasullullah S.A.W telah berkata, Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.
(Riwayat Muslim)
Berhubung barang berharga yang dijumpai, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 31 Mac 2011 telah memutuskan bahawa pelaksanaan pengurusan dan pelupusan Harta Luqatah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
i. Setiap Harta Luqatah yang diterima hendaklah dilaksanakan proses hebahan selama satu tahun. Sekiranya telah tamat tempoh selama satu tahun, maka bolehlah melupuskan Harta Luqatah tersebut secara lelongan dan hasil dari lelongan itu dimasukkan ke dalam Baitulmal;
ii. Harta Luqatah yang tidak mendatangkan manfaat hendaklah disimpan di tempat yang selamat;
iii. Sekiranya Harta Luqatah tersebut sama ada masih kekal atau telah dilelong atau telah dicairkan, pemiliknya berhak menuntut walau pun telah tamat tempoh hebahannya. Pihak Majlis Agama Islam Selangor hendaklah memulangkan semula sekiranya harta tersebut masih ada atau nilai barang (mengikut nilai semasa) jika telah dilelong atau dicairkan;
iv. Pemungut atau pemegang amanah Harta Luqatah harus mengenakan caj perkhidmatan yang munasabah kepada pemilik Harta Luqatah tersebut sekiranya pemilik hadir untuk memungut harta;
v. Harta Luqatah tersebut harus diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. Adalah menjadi kewajipan menyerah kepada Baitulmal apabila tiada individu atau agensi yang sanggup menjadi pemegang amanah; dan
vi. Harta Luqatah tersebut menjadi milik sepenuhnya kepada pemegang amanah atau pemungut untuk dimanfaatkan kepada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada kemaslahatan kepada umat Islam.
Seandainya barang kemas itu telah disedekahkan kepada pihak masjid atau sebagainya, kemudian pemilik barang tersebut dijumpai dan menuntutnya, maka wajib kepada orang yang menjumpainya membayar harga barang kemas tersebut. Sebaiknya diserahkan kepada pihak berautoriti dan beramanah bagi menjamin keselamatannya iaitu pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor.
Untuk mengetahui lebih lanjut kaedah pengurusan dan serahan harta luqatah sila layari laman berikut: https://mais.gov.my/harta-luqatah/
Sekian, terima kasih.