BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum. Saya nak tanya beberapa soalan. Antaranya ialah :

1. Sekiranya saya menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada Rasulullah S.A.W, ahli keluarga, kaum kerabat, para isteri, para sahabat baginda, serta sekalian muslimin & muslimat, mukminin & mukminat, jiran-jiran, guru-guru, para alim ulamak, seluruh ahli keluarga sendiri, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia, dan kepada diri sendiri, adakah pahala bacaan al-Fatihah sampai kepada semuanya yg disebut? Dan adakah mendapat pahala bacaan surah ataupun pahala bersedekah?

2. Sekiranya saya solat menggunakan telekung yg mungkin telah menciplak brand lain, adakah saya berdosa solat menggunakan telekung tersebut?

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya. (Riwayat Muslim)

Hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada lebih daripada seorang daripada kalangan orang yang telah meninggal dunia dalam satu masa adalah diharuskan dan sampai kepada si mati sebagai pahala bacaan al-Quran.

2. Berkaitan dengan menggunakan telekung ciplak adalah tidaklah sampai menjadikan solat tidak sah tetapi isunya berkaitan ini adalah menghormati hak cipta sesuatu produk yang telah didaftarkan. Sekiranya kita mengetahui ianya adalah barang ciplak dan kita membelinya, maka kita telah menceroboh hak muslim yang lain dan ia berdosa semasa pembelian itu dilakukan. Dibimbangi tidak ada keberkatan pada telekung tersebut.

Sebaiknya gunalah telekung yang lebih menjamin semua perkara dari segi jenama yang sah, jenis kain yang sesuai dan menutup keseluruhan aurat. Pilihan zaman sekarang banyak yang berkualiti dan murah. Amat malang sekali apabila niat untuk bergaya dengan jenama mahal, tetapi ianya diciplak dan kita mengetahuinya maka ia berdosa dan perlu bertaubat.

Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنَّ الحَرامَ بَيِّنٌ، وإنَّ بَيْنَ الحَلالِ والحَرامِ مُشتَبِهاتٍ، فمَن ترَكها استَبْرأ لدِينِهِ وعِرضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.  (Riwayat al-Bukhari)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image