Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya nak bertanya berkenaan cerai. Jika seorang suami itu bernikah nombor 2 di luar malaysia contohnya di siam tetapi tidak pernah mendaftar pernikahan di malaysia kerana takut isteri pertama tahu. apabila isteri pertama dapat tahu berkenaan isteri kedua, suami mengatakan mereka betul sudah berkahwin tapi die berkata dah taknak isteri kedua tu dan berniat nak menceraikan isteri kedua, dan suami berkata nak bercerai didepan isteri pertama, adakah jatuh talak kepada isteri kedua bila suami berkata kepada isteri pertama yang dia nak bercerai dan dia berkata taknak dah dengan isteri kedua, Suami berkata yang dia buat silap berkahwin dan taknak pun isteri kedua tu. Pengakuan itu adalah diantara isteri pertama dan suami sahaja. Soalan No 2. Kalau suami mengaku bujang atau mengaku dah ada isteri tapi dah nak berpisah dekat perempuan lain. Dan akhirnya mereka berkahwin dekat siam. Adakah jatuh talak dekat isteri pertama.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Talak tidak jatuh kerana suami hanya menyatakan berniat untuk menceraikan isteri keduanya. Berniat itu bermaksud suami baru bercadang untuk menceraikan isterinya, dan ia akan jatuh bila suami tersebut melafazkan talak secara jelas (sorih) kepada isteri keduanya tersebut.
2. Seorang suami yang mengaku bujang, atau tidak mempunyai isteri, boleh dianggap sebagai lafaz talak secara kinayah. Sekiranya dia berniat untuk berbohong, maka dia berdosa, namun talak tidak berlaku. Sebaliknya, jika dia berniat menceraikan isterinya, maka talak berlaku.
Sekian, terima kasih.