Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya ingin bertanya jika sebelum ini saya dan suami pernah bertengkar dan suami melafazkan taklik 'jika dia mengulangi perbuatan yang sama seperti (baran menumbuk dinding dan baling2 barang) maka jatuh talak 1.. kemudian selepas itu saya dan suami bertengkar sehingga suami yang masa itu tiada niat pun untuk cerai tapi dia melakukan perbuatan menumbuk pintu bilik sampai pecah akibat menahan geram.. adakah talak tersebut jatuh? Dan jika dirujuk terus depan isteri.. sah ke atau perlu ke jabatan agama?
Jawapan
Berdasarkan kepada persoalan puan, lafaz taklik yang diucapkan suami berbunyi: "jika dia mengulangi perbuatan yang sama seperti (baran menumbuk dinding dan baling2 barang) maka jatuh talak 1", ini boleh dianggap sebagai lafaz taklik yang sorih (jelas) maksudnya. Ini bermakna, asal sahaja melakukan perbuatan yang dia telah taklikkan, maka jatuh talak 1, walaupun suami tidak berniat untuk menceraikan isteri.
Oleh itu, perkara ini hendaklah dilaporkan terus dengan kadar yang segera ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal puan untuk diputuskan oleh Hakim Syarie yang berbidangkuasa mengesahkannya.
Sekian, terima kasih