BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/Tuan,    Saya mempunyai saudara mara yg ramai dalam 1 tanah perkuburan (lebih kurang 10 orang). 

Bagaimana caranya untuk saya ziarah mereka? Adakah perlu saya pergi ke setiap kubur mereka?  Mohon penceraham tuan.

Sekian, terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Menziarahi perkuburan adalah satu perbuatan yang dianjurkan dalam Islam. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا؛ فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، ‌وَتُذَكِّرُ ‌الْآخِرَةَ

Maksudnya: Dahulu aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia, kerana sesungguhnya ia dapat menjauhkan (seseorang) daripada cinta dunia dan mengingatkan (tentang) akhirat. (Riwayat Ibn Majah)

Justeru perkara yang perlu dititikberatkan adalah menjaga adab ketika menziarahi kubur seperti memberi salam kepada mereka. Sunat hukumnya menyampaikan salam ke atas mayat diperkuburan Islam sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah iaitu hadith yang diriwayatkan daripada Buraidah al-Aslami RA katanya:

كان النبي ﷺ يعلمهم إذا خرجوا إلى المقابر أن يقول قائلهم السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله بكم لا حقون. وأنتم فرطنا ونحن لكم تبع ونسأل الله لنا ولكم العافية.

Maksudnya : Rasulullah SAW pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan supaya tiap tiap seorang di antara mereka (memberi salam dan berdoa dengan berkata: Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan bahawa kami juga Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekelian. (Riwayat Muslim)

Sunat kita mendoakan kepada mereka agar terhindar dari azab kubur serta dilapangkan kubur mereka sebagai tempat kediaman sebelum tibanya hari akhirat. Selain itu, doa dan bacaan ayat-ayat al-Quran juga boleh diniatkan pahalanya untuk disampaikan kepada ahli kubur sebagai bekalan mereka daripada ahli warisnya. Doa juga merupakan cara kita bercakap kepada ahli kubur agar diampunkan dosa mereka dan kehidupan mereka di alam barzakh sentiasa dilindungi oleh Allah SWT

Dalam menziarahi kubur saudara-mara yang ramai dalam satu tanah perkuburan, puan boleh memilih cara yang lebih praktikal dan tetap menepati adab serta tujuan ziarah kubur dalam Islam.

  1. Berdiri di satu tempat dan niat untuk semua kerabat seperti berdiri di satu lokasi yang strategik dalam tanah perkuburan, menghadap ke arah semua kubur atau ke arah kiblat dan berniat untuk menghadiahkan doa secara khusus kepada kaum kerabat yang dikebumikan di tanah perkuburan tersebut..

  2. Ziarah secara berperingkat – Jika ada masa dan kemampuan, anda boleh berjalan ke setiap kubur mereka satu persatu, membaca doa, memberi salam, dan merenung pengajaran dari kematian.

  3. Mendoakan secara umum – Jika tidak dapat menziarahi setiap satu secara khusus, cukup dengan membaca doa secara umum untuk semua ahli kubur Muslim, termasuk saudara-mara anda.

Dalam semua keadaan, yang paling penting adalah niat ikhlas, doa yang dipanjatkan serta mengambil ibrah daripada kematian. Islam memberi kelonggaran dan tidak diwajibkan untuk pergi ke setiap kubur secara individu jika keadaan tidak mengizinkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 43

message user image