Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan, saya ingin bertanya tentang pakaian jersey bola sepak yang mempunyai logo yang mengandungi lambang salib. Sebagai contoh baju barcelona dan real madrid. Sebagai seorang peminat pasukan bola sepak Barcelona, bolehkah saya membeli baju kelab tersebut tetapi menconteng pada bahagian salib tersebut? Terima kasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan, orang Islam diharamkan memakai pakaian atau barang yang ada logo atau lambang agama lain yang secara zahir bercanggah dengan akidah. Perkara ini telah diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 16 Mac 2011 seperti berikut; Hukum Menggunakan Barangan Yang Mempunyai Lambang Agama Lain Contohnya Salib Dan Seumpamanya “Orang Islam adalah diharamkan menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib atau bintang 6 (lambang Yahudi) sekiranya lambang-lambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas”. Oleh itu, jika mahu juga pakai baju jersi tersebut, perlulah dihilangkan bentuk dan imej salib tersebut dengan apa-apa cara yang bersesuaian.
Sekian, terima kasih.