Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, maaf saya ingin bertanya, apakah hukum membuat patung crochet (Amigurumi)? Dan adakah dibolehkan untuk menjualnya?
Jawapan
Patung crochet (Amigurumi) ialah patung yang buat menggunakan teknik atau seni mengait daripada benang kapas atau sintetik. Secara umumnya membuat patung menggunakan kaedah ini dengan tujuan permainan mahupun perhiasan adalah diharuskan dengan syarat patung atau objek yang dibuat tidak melambangkan atau boleh dikaitkan dengan mana-mana kepercayaan atau agama lain seperti lambang salib, syaitan dan sebagainya. Begitu juga diharamkan sekiranya tujuan pembuatan patung tersebut adalah dengan niat untuk pemujaan atau diagung-agungkan.
Hukum menjual patung tersebut tertakluk kepada tujuan pembuatannya. Sekiranya untuk tujuan permainan dengan syarat yang dinyatakan tadi, maka diharuskan. Sebaliknya jika tujuan untuk pemujaan, maka hukumnya adalah haram.
Sekian, terima kasih.