BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ada kemusykilan agama berdasarkan 'whatapps' groups yang begitu melata dalam masyarakat hari ini. Harap dapat dihurai kan sebaik mungkin untuk panduan saya dan keluarga.

Latar belakang:

Dalam 'whatapps' groups, selalu nya ada dua kumpulan ahli nya - yang aktif dan yang tidak aktif. 

1. Yang aktif - selalu berkongsi, muat naik video, komentar, pautan internet, dsb nya berkaitan dengan parti politik, individu, bangsa, agama dan lain lain yang keabsahan nya tak begitu dikenal pasti. Pada individu, parti politik, kumpulan, bangsa, dsb yang tidak di sukai, selalu lah meraka dicerca, diperli, dikomen, dan macam macam lagi yang bernada negatif. 

2. Yang tidak aktif - tiada hantaran, komen, atau sebarang respon atas apa yang dilakukan oleh kumpulan yang aktif. Jika ada hantaran, ia nya hanya berkaitan dengan hari jadi, kematian, majlis perkahwinan, hari kebesaran, dsb.

Soalan saya:

1. berkaitan dengan yang aktif, adakah berdosa kerana apa yang dikongsikan secara rambang itu mungkin fitnah jika tidak benar? Sebarang komen, cercaan, kejian, dan yang negatif itu tidak kah bersifat seperti 'mengumpat' juga? Contoh, tidak suka sipolan, maka selalu lah komen komen negatif di lontar kan kepada sipolan.

2. berkaitan yang tidak aktif, adalah berdosa jika berdiam diri dan tidak saling nenasihati atas perkara perkara yang tidak sihat dan bersifat fitnah atau umpatan?

3. berkaitan yang tidak aktif, adakah lebih baik meninggal kan group supaya tidak terlibat dalam kegiatan negatif yang mungkin berlaku? Atau lebih baik berdiam diri seperti sekarang untuk memastikan talian silaturrahim terus berjalan.

Terima kasih atas pertolongan yang diberikan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

Soalan 1: Segala perbuatan yang disebutkan oleh puan adalah termasuk di dalam larangan Allah SWT.  Di dalam surah al-Hujurat ayat 11: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‏

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Selain itu, hadis Nabi SAW seperti: 

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ، لَا يَخُونُهُ وَلَا يَكْذِبُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ، ‌كُلُّ ‌المُسْلِمِ ‌عَلَى ‌المُسْلِمِ حَرَامٌ، عِرْضُهُ وَمَالُهُ وَدَمُهُ، التَّقْوَى هَاهُنَا، بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْتَقِرَ أَخَاهُ المُسْلِمَ

Maksudnya: Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain; dia tidak akan mengkhianatinya, tidak akan berdusta kepadanya, dan tidak akan meninggalkannya tanpa bantuan. Setiap Muslim itu haram ke atas Muslim yang lain (untuk mencemari): kehormatan, harta, dan darahnya. Takwa itu berada di sini (sambil menunjukkan ke arah dada). Cukuplah seseorang itu dianggap buruk apabila dia merendahkan saudaranya yang Muslim.

Soalan 2: Hal ini termasuk dalam perkara fardu kifayah yang mana jika tidak ada sebahagian ahli di dalam group tersebut menegur perbuatan salah itu maka seluruh ahli di dalamnya berdosa kerana mereka seakan-akan meredai kemaksiatan itu berlaku. Hal ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

Maksudnya: Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab. (Riwayat Abu Daud) 

Soalan 3: Perlu dilihat semula keadaan yang akan berlaku. Kemungkaran wajib dicegah mengikut kemampuan bagi seseorang tersebut. Hal ini disebutkan di dalam hadis Nabi SAW: 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim) 

Justeru, hadis ini memberi penjelasan tingkatan bagi mencegah kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing. Difahami bahawa mereka yang mendiamkan diri itu dikategorikan sebagai tingkatan yang ketiga iaitu dibolehkan mencegah dengan hati dengan erti kata tidak meredai dan membeci akan kemungkaran yang berlaku.

Namun begitu, jika keluar dari group tersebut tidak menjejaskan hubungan silaturrahim oleh kerana ingin menjaga diri dari telihat dan terjebak maka diharuskan untuk keluar dari group tersebut. Group whatsapp diwujudkan bagi menyebarkan kebaikan dan bersilaturrahim sesama saudra dan rakan-rakan. Jika ianya banyak menimbukan kemungkaran dan kemaksiatan, maka adalah lebih baik tidak terlibat dlan group whatsapp yang seumpama ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image