Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Apakah hukum menanda ayat Al-Quran dalam Kitab Al- Quran (bukan naskah Tafsiran) menggunakan pen dakwat ' highlighter' berwarna dengan tujuan memudahkan pembelajaran dan hafalan?
2. Apakah yang perlu dilakukan pada kitab Al- Quran berkenaan ? Adakah Kitab tersebut perlu dilupuskan untuk memelihara kehormatannya?
3. Sekiranya perlu dilupuskan, di manakah naskah tersebut boleh diserahkan?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Menanda ayat al-Quran dalam kitab al-Quran menggunakan pen dakwat seperti highlighter berwarna dengan tujuan memudahkan pembelajaran dan hafalan adalah diharuskan dengan syarat ia tidak mengganggu bacaan atau menjejaskan mushaf.
2. Perbuatan menanda ayat al-Quran dengan tujuan yang baik tidak menjadikan mushaf tersebut perlu dilupuskan kerana ia tidak termasuk dalam bentuk kerosakan atau penghinaan. Namun, jika mushaf tersebut rosak atau sudah tidak boleh digunakan lagi, maka ia perlu dilupuskan dengan cara yang sesuai dan menghormati kemuliaan Al-Quran.
3. Adalah memadai jika berkemampuan untuk membakar (dengan niat memelihara kehormatan al-Quran) dan menanam abu mushaf tersebut sebaiknya atau ditenggelamkan di sungai atau laut yang bersih supaya dapat dipastikan ia tidak dihina atau dipijak oleh manusia. Namun disarankan untuk menyerahkan naskah mushaf tersebut kepada pusat yang menyediakan perkhidmatan pelupusan al-Quran agar lebih terjamin.
Sekian, terima kasih.