BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan yg Di Rahmati Allah.

Saya mempunyai soalan berkenaan dengan isu nafkah dan rumahtangga. Suami saya sudah setahun tidak bekerja selepas syarikat tempatnya bekerja ditutup. Selama setahun ini, dia pernah bekerja di dua tempat berbeza tetapi tidak kekal lama dan hanya bertahan selama beberapa hari sahaja. Selama suami tidak bekerja dia tidak memberi nafkah kepada saya dan anak, dan saya yang menanggung segala perbelanjaan rumah. Memandangkan saya bekerja, kadangkala saya juga membayarkan hutang nya kepada bank seperti kad kredit dan pinjaman peribadi serta menanggung kos membaiki motorsikal miliknya. Semasa dia bekerja kadangkala dia juga culas dalam memberi nafkah kerana pendapatannya lebih kecil berbanding saya.

Untuk pengetahuan, suami saya seorang yang ringan tulang selalu membantu kerja rumah seperti mencuci, melipat pakaian, mengemas rumah dan menguruskan hal berkaitan anak. Baru-baru ini, telah berlaku salah faham antara kami dan saya telah mengungkit perbelanjaan yang saya keluarkan terutama ketika dia tidak bekerja. Saya meluahkan segala yang terpendam di dalam hati kerana merasakan suami tidak menghargai pengorbanan saya selama ini. Suami menjadi marah dan mengatakan yang saya suka mengungkit dan tidak ikhlas membantunya. Bukan saya tidak redha tetapi saya rasa terbeban dan penat menghadapinya. Apakah hukum saya mengungkit segala perbelanjaan yang saya keluarkan, pengorbanan, masa dan penat lelah saya? Adakah sebagai isteri saya berdosa mengungkitnya kepada suami dan menaikkan kemarahannya? 

Terima kasih di atas masa dan pertimbangan daripada pihak Ustaz/Ustazah/Tuan/Puan terhadap pertanyaan saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, adalah menjadi kewajipan bagi seorang suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak dengan menyediakan keperluan asas secara umum seperti makanan, tempat tinggal, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya sekalipun isteri mempunyai pendapatannya sendiri. Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk-pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.

Justeru, apabila seorang suami telah menunaikan nafkah wajib mengikut kadar kemampuannya, maka tanggungjawabnya dianggap sah dan mencukupi. Sekalipun suami tidak mampu memberikan wang bulanan, kewajipan nafkah tetap terpenuhi selagi keperluan asas isteri dipenuhi. Namun demikian, suami digalakkan untuk memberi wang atau hadiah sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang terhadap isteri.

Oleh itu, jika seorang suami tidak memberi nafkah yang wajib dengan sengaja maka dia berdosa atas dasar mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah. 

Adapun perbuatan mengungkit perbelanjaan dan pengorbanan dalam rumah tangga adalah sesuatu yang tidak dianjurkan, meskipun ia mungkin berlaku akibat tekanan dan keletihan. Justeru, perlu diingat bahawa seorang isteri yang membantu suami dalam urusan kewangan dianggap sebagai suatu bentuk ketaatan yang mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Oleh itu, disarankan agar isteri memperbaiki komunikasi dengan suami secara bijaksana, meluahkan perasaan tanpa menyinggung, serta mencari penyelesaian bersama dengan penuh hikmah. Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT adalah kunci utama dalam mengukuhkan hubungan serta membantu suami kembali menunaikan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 27

message user image