BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan,

Saya nak bertanya, company saya ada mencadangkan untuk membeli patung king kong yang besar, tinggi lebih kurang 3 meter tinggi dan diletakkan di kawasan luar bangunan untuk menarik pelanggan dan menjadikan kawasan tu tempat untuk mengambil gambar. Lokasi adalah di bandar baru bangi shopping complex.  Soalan dia apakah hukumnya dan impak pada masyarakat sekitar, samaada dibolehkan atau tidak dan dari segi syarak bagaimana?

Terima kasih

Adriq


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara asasnya perihal patung ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW: 

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Malah Imam al-Nawawi juga berkata:

قَالَ الْعُلَمَاءُ سَبَبُ امْتِنَاعِهِمْ مِنْ بَيْتٍ فِيهِ صُورَةٌ كَوْنُهَا مَعْصِيَةً فَاحِشَةً وَفِيهَا مُضَاهَاةٌ لِخَلْقِ اللَّهِ تَعَالَى وَبَعْضُهَا فِي صُورَةِ مَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Menurut para ulama’, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar patung. Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar patung itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT. Manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

Kesimpulannya, meletakkan patung King Kong atau sebarang patung makhluk bernyawa di tempat awam adalah kurang bersesuaian dari sudut syarak. Adalah digalakkan agar memilih alternatif lain yang tidak menimbulkan keraguan dan tetap mencapai matlamat menarik pelanggan serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat setempat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image