Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ada masalah terkucil. Ketika melakukan tawaf umrah beberapa tahun dahulu saya menggunakan niat wuduk sahaja aku mengangkat hadas kecil. Setelah saya belajar rupanya wanita yang ada masalah terkucil perlu membaca niat wuduk..sahaja aku berwuduk. Kemusykilan saya ialah adakah sah tawaf saya yang ada masalah tersebut dengan niat wuduk mengangkat hadas kecil. Sepanjang bertawaf saya tidak merasa ada apa- apa yang keluar. Tapi sekarang saya ragu-ragu pulak jadinya, sekiranya ketika bertawaf itu ada air kencing yang terkeluar tanpa saya sedar.
Mohon penjelasan ustaz. Perlukah saya membayar dam sedang umrah itu telah lama berlaku dan saya ingat-ingat lupa.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang yang hendak melaksanakan ibadah solat dan tawaf hendaklah memastikan dirinya suci daripada sebarang hadas, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat solat atau tawaf dan menutup aurat. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:
Maksudnya : Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa berkata-kata, hendaklah berkata dengan perkara yang baik-baik. (Riwayat Tirmizi)
Namun begitu, bagi mereka yang mengalami penyakit tidak lawas atau Daimul Hadas perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan suci. Begitu juga, pakaian yang dipakainya bersih daripada sebarang najis sebelum melaksanakan ibadah berkenaan. Adapun apa yang keluar dari kemaluannya ketika melaksanakan ibadah itu adalah dimaafkan kerana terdapat keuzuran. Di dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-32, menyatakan bahawa sekiranya jemaah haji atau umrah merupakan seseorang yang Daim al-Hadath dia dinasihatkan untuk menerima pakai pandangan muqabil al-Asoh demi mengelakkan masyaqqah iaitu tidak perlu bersuci sekiranya najis yang keluar tidak meleleh melampaui alat penahan seperti tuala wanita atau seumpamanya, malah memadai dengan memperbaharui wuduk sahaja.
Justeru, di dalam situasi yang di alami oleh puan, maka segala ibadah perlu diambil berdasarkan keyakinan. Hal ini juga bertepatan dengan penetapan para ulama dalam masalah was-was/syak sebagaimana kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Oleh itu, Ibadah tawaf yang puan laksanakan adalah sah kerana puan hanya sekadar ragu-ragu. Selain itu, puan juga tidak perlu membayar apa-apa dam kerana ibadah umrah puan telah dikira sah di sisi hukum syarak.
Sekian, terima kasih.