Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang status cerai taklik yang dilafazkan suami saya. Saya memaksa suami saya melafazkan taklik ketika berlaku pertengakaran antara kami dan suami melafazkan "ok kalau i cakap cakap lagi, jatuh talak" saya meminta beliau melafazkan taklik tersebut kerana beliau sering membebel ketika saya sudah diam dalam pertengkaran kami. Suami mengaku dia tiada niat ketika melafazkan taklik tersebut.
Jadi, adakah cerai taklik yang dilafazkan suami saya itu sah?
Jawapan
Lafaz taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap sesuatu yang disyaratkan. Ia boleh juga bermaksud menggantungkan penceraian kepada sesuatu perbuatan atau masa. Sebagai contoh:
Suami berkata kepada isterinya: “Kalau aku tipu engkau lagi, maka jatuh talak” dan sebagainya.
Sekiranya berlaku perbuatan tersebut, maka ia boleh membawa kepada penceraian.
Merujuk kepada persoalan, lafaz yang diungkapkan ialah "ok kalau i cakap cakap lagi, jatuh talak" , jika suami bercakap lagi ketika itu (semasa pertengkaran masa itu) maka penceraian berkemungkinan boleh berlaku. Namun begitu, suami tiada niat untuk melafazkan taklik tersebut berikutan dipaksa oleh pihak isteri. Oleh itu, dalam menentukan sama ada talak itu jatuh atau tidak, disyorkan juga agar puan dan suami merujuk kepada Mahkamah Syariah berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan perkara tersebut dalam kadar segera sebagaimana dijelaskan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 23 di bawah Seksyen 57.
Sekian, terima kasih.