Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Anak angkat seorang Islam yg tidak tahu identitinya telah berkahwin dgn adik perempuannya sendiri sehingga melahirkan seorang anak. Pada masa itu identiti mereka ditemui sebagai muhrim. Apakah yg perlu dilakukan selepas itu? Terus hidup bersama atau perlu bercerai?
Jawapan
Perkahwinan antara adik beradik kandung tanpa diketahui atau tidak sengaja disebut sebagai nikah fasid iaitu pernikahan yang tidak memenuhi syarat-syarat sah nikah mengikut hukum Syarak. Tidak boleh diteruskan perkahwinan tersebut kerana adik beradik haram dinikahi. Apabila telah diketahui status tersebut, perlu merujuk kepada mahkamah Syariah untuk membuat permohonan pembubaran perkahwinan serta bertaubat dan memohon ampun atas ketidaksengajaan itu.
Anak-anak hasil perkahwinan tersebut tidaklah dianggap sebagai anak tidak sah taraf tetapi dikategorikan sebagai anak daripada hasil persetubuhan yang diragui atau persetubuhan syubhah. Anak tersebut boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayahnya berbeza dengan anak zina atau anak tidak sah taraf.
Sekian, terima kasih.