BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ada pertanyaan mengenai Ibu susuan. 

1. Jika saya ingin mengambil anak angkat, berapa lamakah saya perlu menyusukan bayi yang ingin saya jadikan anak susuan saya ?

2. Adakah sebelum bayi berumur 2 tahun? Minta berikan sedikit pencerahan agar saya lebih yakin dan telus untuk membuat keputusan. 

3. Adakah perlu mendaftar sebagai ibu susuan?

4. Adakah perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk 'check up' atau mempunyai prosedur tertentu sebelum menjadi ibu susuan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Tempoh untuk menyusukan bayi sehingga menjadi anak susuan adalah sebanyak lima kali kenyang yang berasingan. Sesuatu penyusuan itu dianggap berasingan atau tidak berdasarkan pandangan umum. Jika bayi tersebut berhenti menyusu kerana kenyang, ia dianggap sebagai sekali susu. Tetapi, jika bayi itu berhenti menyusu kerana bermain-main seketika dan kemudian menyusu semula atau bertukar payudara, maka ia juga dianggap sekali susu sahaja. Boleh juga dikenal pasti daripada tindak balas bayi itu sendiri misalnya bayi melepaskan puting dan sendawa.

2. Bayi yang disusukan itu mestilah belum mencapai usia dua tahun. Jika usianya melebihi dua tahun, penyusuan itu tidak menjadikannya mahram dan tidak menjadikannya ahli keluarga.

3. Sebagai alternatif bagi memelihara nasab, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ada memperkenalkan kad My Radha’ah yang dikhaskan buat bayi yang menyusu daripada wanita bukan ibu kandung. Kad My Radha’ah ini bertujuan merekodkan pendaftaran anak dan ibu susuan supaya anak susuan itu tidak berkahwin dengan saudara sesusuan selain memperkenalkan identiti mereka serta menjaga keturunan umat Islam melalui proses nikah yang sah. Justeru, disarankan agar berdaftar dengan JAIS.

4. Dinasihatkan agar berjumpa dan mendapatkan tunjuk ajar serta panduan daripada doktor serta pakar laktasi terlebih dahulu supaya tidak berlaku kesilapan dalam penyusuan dan mengakibatkan bahaya kepada bayi. Di samping itu, doktor akan memberi bimbingan bagi meransang hormon ibu dan memudahkan proses penyusuan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image