BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. 

Saya ingin bertanya beberapa soalan kepada pihak mufti. Seorang isteri telah kematian suaminya dan meninggalkan tujuh orang anak perempuan. Soalan saya

1) siapakah yang paling berhak untuk memelihara anak-anak yatim tersebut?

2) jika hak penjagaan anak jatuh kepada ibu, siapakah yang bertanggungjawab keatas nafkah anak-anak tersebut. Adakah ibu yang memelihara mereka atau orang lain?

3) berapakah tempoh si anak yatim perlu dipelihara. Adakah jika mereka baligh tak perlu lagi dipelihara dan dinafkahi? 

Segala jasa baik pihak Mufti saya dahulukan dengan ucapan JAZAKUMULLAHU KHAIRAN 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa, definisi anak yatim adalah anak-anak yang kematian bapanya, dan yang belum baligh serta belum mampu untuk mengurus harta atau menyara dirinya sendiri. Firman Allah SWT di dalam Surah al-An'am ayat 152:

 ولَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۖ

Maksudnya: Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1. Individu yang berhak memelihara anak tersebut adalah ibu mereka selagi mana ibunya sihat dan waras. 

2.  Nafkah anak yang kematian bapa dan belum mampu bekerja dipertanggungjawabkan kepada datuk dari keturunan bapanya. Jika datuk sudah tiada, maka ibu kepada anak tersebut dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja. Tiada kadar tertentu yang ditetapkan bagi nafkah, ia hanya berdasarkan konsep mencukupi berdasarkan pandangan umum dan mengikut kemampuan pemberi nafkah.

Namun, jika datuk sebelah bapa anak kecil tersebut tidak mampu serta ibunya juga seorang yang fakir kerana kematian suami dan tidak mampu menanggung anaknya, maka menjadi tanggungjawab Pusat Zakat atau Baitulmal untuk menanggung keperluan si anak. Oleh itu, isteri berhak mendapat zakat dan boleh memohon bantuan di Pusat Zakat atau Baitulmal kerana statusnya sebagai asnaf zakat dalam kategori fakir dan miskin. Di samping itu, saudara-mara yang lain juga digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam kesusahan bahkan sunat membantunya atas tuntutan sedekah dan demi mengeratkan lagi silaturahim.

3. Tempoh anak dipelihara dan dinafkahi adalah sehingga anak tersebut baligh dan mampu bekerja.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 43

message user image