Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum Tuan, Bolehkah sy menggunakan mazhab maliki dlm soal najis dan apakah syarat berpindahnya najis hukmi?
Jawapan
Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya perlu dibersihkan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: "Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan." (Riwayat al-Bukhari)
Merujuk kepada persoalan tuan, najis hukmi adalah najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi boleh berpindah dalam keadaan basah.
Sememangnya wujud khilaf antara mazhab Syafi'i dan mazhab Maliki dalam bab najis. Namun, dalam konteks 'uruf di Malaysia, tidak ada keperluan untuk sewenang-wenangnya bertalfiq atau mengikut kepada mazhab Maliki tanpa keperluan walaupun pada asalnya, hukum seorang bermazhab Syafi'e bertaqlid kepada mazhab Maliki dalam bab najis adalah dibenarkan dengan syarat perlu meraikan semua hukum-hakam solat dan bersuci dalam mazhab Maliki.
Oleh itu, disarankan supaya tuan lebih perihatin terhadap isu najis dengan segera mensucikannya dan jangan membiarkan nya sehinga hilang kesan najis tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan dari timbul perasaan was-was pada diri tuan.
Sekian, terima kasih.