Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz... soalan saya, sepertimana yang kita tahu, diboleh menggunakan batu untuk beristinjak dikala ketiadaan air. Boleh saya tahu apakah hukum jika batu yang digunakan tersebut, bersifat mulia seperti batu yang dijumpai dari tanah perkuburan? Sekadar untuk pengetahuan semata walaupun kadar kemungkinan berlakunya adalah mustahil. Terimakasih...
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, perbahasan ini adalah berkaitan mengambil milik orang lain. Justeru, jika batu itu berada di atas kubur si pemilik kubur maka haram diambil kerana batu tersebut miliknya. Namun, jika batu yang bertaburan di kawasan tanah perkuburan secara berselerak maka tidak haram untuk diambil kerana ia bukan milik sesiapa ketika itu. Sebaiknya untuk seseorang memilih batu yang berada di kawasan selain tanah perkuburan Islam kerana ia merupakan tempat untuk dihormati.
Sekian, terima kasih.