BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

 

Saya ada pertanyaan seperti berikut ;

Saya datang haid bagi bulan December 2024 pada 11/12/2024 - 19/12/2024 (9hari)

20/12/2024 - 27/12/2024 : Saya melakukan ibadat seperti biasa

Situasi 1 - Akan tetapi saya datang haid kembali pada 28/12/2024 - 3/1/2025 (7hari) [keadaan darah dalam tempoh 7 hari tu, berwarna coklat yang sangat sedikit dan keluar bila buang air kecil & apabila mengunakan tisu] 

Situasi 2 - Dan ianya jadi lagi pada (7/1/2025 & 8/1/2025)

Soalan :

Apakah status darah pada situasi 1 & 2 ?Haid atau Istihadah??

Jika ianya darah istihadah perlukah saya mandi wajib selepas bersihkan darah itu dan solat?? Ataupun bersihkan sahaja sudah memandai??


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, tempoh maksimum atau sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam. Jika darah masih keluar dalam tempoh maksimum haid walaupun diselangi naqo (darah berhenti sekejap) kemudian datang semula ia masih dianggap haid. Manakala sekurang-kurang tempoh suci antara dua haid adalah 15 hari 15 malam. Merujuk kepada persoalan:

11/12/2024 hingga 19/12/2024 (8 hari): Merupakan darah haid iaitu keluar dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam.

20/12/2024 hingga 27/12/2024 (9 hari): Dianggap waktu suci daripada haid. Puan perlu mandi wajib dan menunaikan solat. Adapun begitu, tempoh suci puan hanya 9 hari iaitu tidak mencukupi syarat tempoh sekurang-kurang suci (15 hari 15 malam). Jadi, ia memerlukan kepada penyempurnaan tempoh minimum suci. 

28/12/2024 hingga 3/1/2025 (6 hari) [Situasi 1]: Darah datang semula pada tempoh ini merupakan darah istihadhah kerana darah ini keluar dalam tempoh suci yang masih berbaki. Jadi, puan hanya membersihkan darah dan solat  seperti biasa tanpa perlu mandi wajib kerana puan masih dalam keadaan suci dan telah mandi wajib sebelum ini. 

Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/512)  menyatakan:

‌إذَا ‌رَأَتْ ‌ثَلَاثَةَ ‌أَيَّامٍ دَمًا ثُمَّ اثْنَيْ عَشَرَ نَقَاءً ثُمَّ ثَلَاثَةً دَمًا ثُمَّ انْقَطَعَ فَالثَّلَاثَةُ الْأُولَى حَيْضٌ لِأَنَّهُ فِي زَمَانِ الْإِمْكَانِ وَالثَّلَاثَةُ الْأَخِيرَةُ دَمُ فَسَادٍ وَلَا يَجُوزُ أَنْ تُجْعَلَ حَيْضًا مَعَ الثَّلَاثَةِ الْأُولَى وَمَا بَيْنَهُمَا لِمُجَاوَزَتِهِ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا وَلَا يَجُوزُ أَنْ تُجْعَلَ حَيْضًا ثَانِيًا لِأَنَّهُ لَمْ يَتَقَدَّمْهُ أَقَلُّ طُهْرٍ

Maksudnya: Jika dia melihat darah selama 3 hari, kemudian bersih 12 hari, kemudian 3 hari darah, kemudian berhenti, maka 3 hari pertama adalah haid, kerana ia berada dalam masa yang boleh dihukumkan sebagai haid. Adapun 3 hari darah yang akhir adalah darah fasad. Tidak boleh dijadikan 3 hari yang akhir ini sebagai haid bersama 3 hari yang pertama serta apa yang berada di antara keduanya kerana melepasi 15 hari, dan tidak boleh juga dijadikannya sebagai haid yang kedua, kerana ia tidak dilalui oleh sekurang-kurang tempoh suci. 

8/1/2025 dan 9/1/2025 [Situasi 2]: Ia dianggap sebagai kitaran haid baru kerana telah melepasi tempoh minimum suci iaitu 15 hari 15 malam serta darah yang keluar adalah mencukupi syarat asas haid iaitu 24 jam atau sehari semalam. Jadi, darah yang berhenti setelah mencukupi syarat asas haid (darah keluar 24jam/ sehari semalam), hendaklah mandi wajib dan menunaikan solat setelah darah tersebut telah kering. Sebaliknya, jika darah yang keluar tidak mencukup sekurang-kurang tempoh haid ia merupakan darah fasad (rosak) yang bukan dianggap sebagai darah haid. Jadi, hendaklah membersihkan darah tersebut dan menunaikan solat seperti biasa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image