Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah bernazar kerana satu hajat untuk berpuasa selama 10 hari dan hajat saya telah dicapai tapi tidak dapat tunaikan lagi nazar tanpa sebab uzur.
Bolehkah say membayar kaffarah bagi perkara tersebut? Jika boleh, berapakah kadar dan kiraan kerana tidak berpuasa nazar sebanyak 10 hari tersebut?
Terima kasih.
-Dari insan yg bertanya-
Jawapan
Nazar merupakan janji yang dilakukan oleh manusia kepada Allah SWT bagi tujuan untuk mendekatkan diri kepada pencipta-Nya. Apabila sempurna syarat dan rukunnya wajib melaksanakannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 34:
Maksudnya: dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Merujuk kepada persoalan nazar yang dibuat hendaklah ditunaikan apabila sesuatu hajat tersebut telah tercapai. Tuan hanya menetapkan bilangan hari, jadi, bilangan puasa tersebut mestilah ditunaikan pada bila-bila masa selepas hajat tersebut dicapai. Namun, sekiranya tidak mampu atau tidak melakukan nazar itu, dia dikenakan kaffarah nazar iaitu denda kerana melanggar nazar. Kaffarah nazar adalah dengan memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin mengikut uruf setempat atau membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak mampu hendaklah berpuasa tiga hari sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 89:
Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
Bayaran kaffarah juga boleh dirujuk kepada laman sesawang Majlis Agama Islam Selangor untuk jumlah bayaran yang ditetapkan. https://efaraid.mais.gov.my/kaffarah/
Sekian, terima kasih.