Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asslamualaikum,
Saya nak tanya, kalau ada sepasang kembar seiras dan mereka dua sudah berkahwin dan mempunyai anak. Apa status anak mereka diantara satu sama lain? sebab berdasarkan teori sains mereka dikategorikan sebagai adik beradik bukan sepupu. Jadi dari sudut agama, adakah mereka masih sepupu atau adik beradik juga sebab ibu/bapa mereka mempunyai genetik yang sama (kembar seiras).
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam Islam, nasab (keturunan) dan hubungan kekeluargaan ditentukan berdasarkan hubungan syarak, bukan semata-mata faktor genetik atau teori sains.
Walaupun pasangan kembar seiras berkongsi genetik yang hampir sama, namun mereka tetap dianggap sebagai dua individu yang berbeza dalam hukum Islam. Oleh itu, anak-anak mereka dikira sebagai sepupu dan bukan pula sebagai adik-beradik.
Adapun dari sudut hukum perkahwinan, mereka tidak dihukumkan sebagai mahram kerana hubungan mereka adalah hubungan sepupu, dan bukan sebagai adik-beradik kandung atau susuan. Maka mereka dibolehkan berkahwin antara satu sama lain jika tiada halangan lain. Justeru, sekalipun secara saintifik mereka mempunyai persamaan genetik yang tinggi, namun hukum syarak tetap menetapkan bahawa mereka adalah sepupu, bukan adik-beradik.
Sekian, terima kasih.