Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Apakah hukumnya menderma wang ringgit kepada orang yg memerlukan tetapi di luar negara contohnya rakyat palestin, fakir miskin di thailand/cambodia?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara asasnya, menderma wang kepada orang yang memerlukan adalah diharuskan dan sangat digalakkan dalam Islam. Perkara ini termasuk dalam amalan sedekah dan infak fi sabilillah yang mempunyai ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat ke 215:
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka harus infakkan. Katakanlah: "Apa sahaja harta yang kamu infakkan, maka ia adalah untuk kedua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, dan ibnu sabil. Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Selain itu, terdapat sebuah hadis menyatakan tentang ganjaran bagi orang yang melakukan amalan sedekah. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, tetapi sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala: pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim. (Riwayat an-Nasa’i)
Hadis ini menunjukkan bahawa membantu ahli keluarga yang memerlukan bukan sahaja dianggap sebagai sedekah tetapi juga sebagai usaha menyambung hubungan kekeluargaan yang amat dituntut dalam Islam. Namun, ia tidak bermaksud sedekah kepada orang luar negara adalah tidak digalakkan. Jika ada keperluan mendesak, seperti penindasan di Palestin atau kemiskinan melampau di negara jiran, maka membantu mereka juga merupakan perbuatan mulia dan sangat dianjurkan. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Hadid ayat ke 18:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah, lelaki dan perempuan, dan mereka memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, nescaya akan digandakan (pahalanya) bagi mereka dan bagi mereka pahala yang mulia.
Kesimpulannya, tidak ada larangan untuk bersedekah kepada fakir miskin di luar negara, malah ia termasuk dalam amalan kebaikan yang diberkati Allah SWT. Namun, jika terdapat keperluan dalam kalangan keluarga atau masyarakat setempat, maka keutamaan boleh diberikan kepada mereka terlebih dahulu.
Sekian, terima kasih.