Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya mahu bertanya, situasi berlaku pada isteri saya, keluarnya spotting darah pada satu tempoh sahaja dalam satu hari. Ianya berlaku berturut selama 5 ke 6 hari. Hanya spotting sahaja tidak keluar seperti darah haid yg biasa. Bagaimana nak mengira adakah itu haid atau tidak. Mengikut pengetahuan saya yang lemah, haid ditentukan selama sehari semalam. Jika hanya spotting yang keluar maka bagaimana hendak mengira tempoh itu? . Dikira satu jam atau sebagainya. Adakah dalam tempoh tiada darah itu perlu solat ataupun tidak?.
Jawapan
Sekurang-kurang tempoh haid adalah sehari semalam atau 24 jam. Terdapat dua gambaran bagi sekurang-kurang tempoh haid:
Gambaran pertama: Darah keluar sehari semalam (24 jam) secara berterusan. Maksud berterusan ialah darah masih ada dalam kemaluan walaupun tidak mengalir keluar sehingga ke luar faraj. Hal ini kerana tidak disyaratkan darah haid itu keluar di luar faraj untuk dikira sebagai haid. Contohnya: Darah keluar bermula jam 8.00 pagi hari Isnin sehingga 8.00 pagi hari Selasa keesokannya.
Gambaran kedua: Darah keluar secara putus-putus tetapi jika digabungkan kesemua darah tersebut dalam tempoh 15 hari 15 malam ke bawah, cukup sehari semalam (24 jam). Kaedah pengiraan darah yang keluar secara putus-putus adalah dengan dikumpulkan kesemua tempoh darah yang keluar sepanjang 15 hari 15 malam ke bawah. Jika tempoh darah itu cukup sehari semalam, maka ia dihukumkan sebagai haid. Sebaliknya, jika tempoh darah itu tidak cukup sehari semalam, maka ia bukanlah haid, tetapi darah fasad atau istihadah. Contohnya: hari pertama 5 jam, hari kedua 5 jam, hari ketiga 5 jam, hari keempat 5 jam dan hari kelima 4 jam. Jadi kesemua darah tersebut adalah haid.
Merujuk kepada persoalan, darah yang keluar tersebut hendaklah dihitung adakah berlaku pada waktu suci atau masih dalam tempoh waktu haid. Tempoh haid minimum adalah 1 hari dan tem poh maksimum adalah 15 hari. Manakala tem,poh suci adalah 15 hari. JIka darah tersebut berlaku pada tempoh suci (15 hari) maka ia dianggap sebagai darah istihadhah. JIka berlakuselepas tempoh suci maka hendaklah dihitung sehingga mencukupi 24 jam untuk dianggap sebagai darah haid. Dalam tempoh kiraan tersebut, jika belum memenuhi syarat asas haid (24 jam) maka wanita tersebut masih dalam keadaan suci yang memerlukan kepadanya untuk melakukan ibadah solat seperti biasa tanpa perlu mandi wajib. Jika darah telah berhenti setelah mencukupi syarat 24 jam, hendaklah mandi wajib terlebih dahulu sebelum mengerjakan ibadah solat.
Sekian, terima kasih.