Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum, saya nak bertanya.
saya period sejak hari pertama di madinah 18/1 kemudian hari ke empat iaitu 21/1 petang saya bergerak ke mekah dan saya telah niat bersyarat. kemudian saya lihat darah tidak keluar sejak asar maghrib dan isya’. setibanya di mekah jam 11 malam saya mandi wajib dan dapati tiada darah yang keluar. saya berjalan ke masjidil haram untuk menunaikan umrah. tiada darah yang keluar sehingga lah saya merasa ragu ragu seperti ada sesuatu keluar semasa sedang berjalan untuk tawaf. namun saya menghabiskan rukun tawaf dan meneruskan rukun rukun yang lain sehingga tahallul. setibanya di hotel, saya melihat ada darah yang keluar pada pakaian dalam. bagaimana dengan keadaan umrah saya tadi? adakah saya dikenakan dam dan bagaimana keadaan saya sama ada sudah terlepas atau masih dalam keadaan berihram.
Jawapan
Buku Fiqh Haji dan Umrah Wanita serta Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan 2018 menjelaskan bahawa bagi wanita yang berada dalam keadaan haid, kemudian haidnya terhenti (bersih di dalam dan luar faraj-naqa’) dan pergi melakukan tawaf. Sah ibadat yang dilakukan dalam tempoh tersebut selama mana darah tidak kembali semula khususnya ketika tawaf sahaja. Ini kerana disyaratkan suci daripada hadas besar dan kecil berbeza dengan rukun-rukun umrah yang lain. Ini merupakan pendapat kedua dalam mazhab Shafi’i. Namun pendapat ini diguna pakai bagi kes wanita yang berada dalam kesuntukan masa yang tidak dapat melakukan tawaf rukun kerana terpaksa pulang ke tanah air atau pergi ke Madinah.
Merujuk kepada situasi yang puan nyatakan, besar kemungkinan darah haid puan keluar semula semasa puan melakukan tawaf. Maka, menurut mazhab Shafi’i: berdasarkan kepada niat bersyarat yang puan lakukan, seandainya niat bersyarat itu mengatakan bahawa seandainya puan masih dalam keadaan haid dan perlu pulang ke Malaysia, puan menjadi halal, maka puan dianggap halal secara automatik ketika meninggalkan Tanah Haram Mekah, umrah yang dilakukan dianggap tidak sah kerana melakukannya dalam keadaan haid.
Sekian, terima kasih.