BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Disini saya ingin bertanya berkaitan dengan taat isteri kepada suami. Adakah isteri perlu taat kepada suami yg merupakan seorang kaki judi/penagih dadah/kaki perempuan. Adakah isteri perlu taat dan tidak boleh meminta fasakh/ bubar perkahwinan.. Sekiranya isteri tidak dapat taat kepada suami dan telah bercerai, adakah dosa-dosa sepanjang perkahwinan tersebut tidak akan diampunkan... mohon diberi pencerahan dan penerangan. Saya dahului soalan saya dengan ucapan terima kasih


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Ketaatan isteri kepada suami adalah menjadi suatu kewajipan selagi mana suami tidak memerintahkan sesuatu yang bertentangan dengan syariat. Namun begitu, jika suami seorang kaki judi, penagih dadah, atau kaki perempuan, maka dia telah berbuat dosa kepada Allah SWT dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin keluarga yang baik. Oleh itu, dalam keadaan ini isteri tidak wajib taat kepada suami yang mengajak kepada maksiat atau mengabaikan tanggungjawabnya.

Isteri juga berhak memohon fasakh jika kehidupan bersama suami tersebut membawa mudarat seperti dalam kes suami yang melakukan dosa besar secara berterusan, gagal memberi nafkah, atau melakukan kezaliman. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِى مَعْصِيَةٍ ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِى الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Tidak boleh ada ketaatan dalam maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanya dalam perkara yang baik(Riwayat al-Bukhari)

Mengenai dosa-dosa sepanjang perkahwinan pula, jika isteri telah berusaha menjalankan tanggungjawabnya tetapi berada dalam keadaan terpaksa atau dizalimi maka dia tidak berdosa. Allah SWT Maha Pengampun dan tidak membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang di luar kawalan mereka. Jika terdapat kesilapan dalam perkahwinan, isteri boleh bertaubat dengan ikhlas dan memohon keampunan daripada Allah SWT. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image