Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada membaca jawapan kepada 1 persoalan berkenaan haid di sini, bahawa 'Qissatul baidhak' adalah cecair putih jernih seperti putih telur. Berdasarkan pengetahuan sains dan agama saya yang tak seberapa ini, cecair jernih ini adalah petanda waktu subur selepas habis haid.
Dan dari pengalaman saya sendiri pula, setiap kali setelah keluarnya cecair jernih ini setelah habis darah haid, akan ada juga cairan kental berwarna putih kekuningan (warna kekuningan itu sangat ringan, akan nampak jika diletakkan pada kapas atau tisu putih). Jika ianya keluar setelah 15 hari, atau setelah tempoh suci, ia tidak menjadi masalah. Tetapi jika ia keluar dalam tempoh 15 hari tetapi setelah keluarnya tanda 'Qissatul baidhak' atau tanda habisnya haid, adakah ia adalah keputihan atau masih dikira haid? Kerana dari segi perubatan, keputihan juga boleh berlaku dalam warna putih, kuning, kelabu dan sebagainya.
Saya ada juga terbaca bahawa setelah keluarnya cairan jernih tanda waktu subur (qissatul baidhak), cairan kekuningan yang keluar dianggap keputihan bukan haid. Tetapi, dari seminar fiqh darah yang saya hadiri, apa sahaja warna kekuningan dalam tempoh 15 hari itu dikira haid. Saya jadi amat keliru untuk menentukan waktu suci utk kembali solat dan puasa.
Dan secara logiknya, bagi mereka yang merancang untuk hamil, jika cairan putih kekuningan yang keluar pada waktu subur itu masih dikira haid, sudah tentu ia mengganggu perancangan untuk hamil, terutamanya jika mempunyai tempoh kitaran haid yang pendek. Dan jika cecair putih kekuningan yang kerap keluar dalam tempoh 15 hari (walau selepas keluar cairan kesuburan) itu dianggap haid, jarak dengan waktu haid seterusnya juga akan menjadi kurang dari 15 hari; dari seminar yang saya hadiri, jarak antara haid seterusnya perlu sekurang-kurangnya 15 hari.
Saya mohon penjelasan untuk permasalahan ini agar kekeliruan saya dapat diselesaikan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pandangan muktamad di dalam mazhab Syafi’i ialah cecair kekuningan yang keluar di dalam tempoh imkan (kemungkinan) keluarnya darah haid, iaitu dalam tempoh maksimum 15 hari haid, walaupun selepas darah berhenti berserta tanda suci (qassatul baidha’), ia dihukumkan sebagai darah haid dan dianggap bahawa darah haid telah datang semula dan belum berakhir.
Pandangan kedua, iaitu muqabbil asah di dalam mazhab Syafi’i menganggap bahawa cecair kekuningan yang keluar selepas daripada tempoh adat kebiasaan keluar darah haid dihukumkan sebagai bukan darah haid, sebaliknya istihadhah.
Seeloknya diambil pandangan pertama kerana ia adalah pandangan muktamad dalam mazhab Syafi'i. Walaupun begitu, jika timbul kesukaran yangg bersangatan atas sebab-sebab tertentu bolehlah memilih pandangan kedua bagi mengelakkan kesukaran yang dihadapi.
Sekian, terima kasih.