BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Solat sunat yang saya tahu boleh di lakukan di rumah.

Ramadan lepas ada jemaah ni nampak saya balik lepas isyak. Dia kata solat jemaah besar pahalanya. Tak silap dia kata 25 ganjaran dia. Tak silap saya apa yang dia katakan. Saya pernah dengar. Tapi apa yang saya dengar tu untuk solat fardu. 

Saya balik tu bercadang nak buat tarawih di rumah. Saya nak khatamkan 2 kali bulan ramadan. Saya tiap-tiap bulan (kalender hijrah) khatam sekali (dengan membaca al-qur'an). Jadi bulan ramadan saya nak buat tarawih sambil pegang phone saya.

Al-Qur'an yang ada dalam phone saya. Phone tu saya hidupkan flight mode, supaya tiada gangguan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

Imam al-Nawawi dalam Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab menyatakan bahawa solat sunat tidak disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah, kecuali dalam beberapa solat tertentu seperti solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa' (meminta hujan). Begitu juga dengan solat tarawih dan witir selepas tarawih, yang mana menunaikannya secara berjemaah adalah lebih afdhal.

Terdapat galakan agar melaksanakan solat sunat tarawih secara berjemaah bersandarkan kepada hadis daripada Abu Zar al-Ghifari RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang qiyam (solat malam) bersama imam sehingga imam selesai, Allah SWT akan menuliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam. (Riwayat al-Nasa’ie)

Bagi solat sunat selain yang disebutkan dan tidak ditetapkan oleh syarak untuk didirikan secara berjemaah, hukumnya tetap dibenarkan untuk dilaksanakan secara berjemaah.

Namun begitu, sandaran tersebut tidaklah menafikan fadhilat yang akan diterima oleh seseorang atas asbab ibadah yang dilakukan dan bukanlah bermakna solat-solat yang digalakkan untuk dilaksanakan secara berjemaah tersebut tidak boleh dilakukan bersendirian. Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitab al-Mughni menyatakan bahawa dibolehkan untuk solat sunat secara berjemaah dan boleh juga secara bersendirian. Hal ini kerana Nabi SAW melakukan kedua-duanya (kadang berjemaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat Baginda SAW adalah secara bersendirian.

Melaksanakan solat sunat tarawih dan witir secara berjemaah dengan berniat qiyam bersama imam merupakan tanda kesungguhan seseorang dalam meraikan serta mengimarahkan masjid atau surau di bulan Ramadan, sekaligus meraih keutamaan pahala berjemaah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image