Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikun w.b.t
Apa hukumnya kalau saya bagi wedding doorgift sudu "gold plated stainless steel" kepada para jemputan?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jumhur ulama dari mazhab Syafi‘i, Hanafi, dan Hanbali bersepakat bahawa hukum asal penggunaan pinggan, cawan, sudu, atau garpu yang diperbuat daripada emas dan perak bagi tujuan makan dan minum adalah haram baik bagi lelaki mahupun wanita. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah bin al-Yaman RA, di mana beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang kami minum menggunakan bekas emas dan perak serta makan dengannya, begitu juga memakai sutera dan dibaj (sutera tebal) serta duduk di atasnya. Baginda SAW bersabda: Ia untuk mereka (orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hal ini, pemberian wedding doorgift berupa sudu gold-plated stainless steel kepada para jemputan pada asasnya adalah harus, dengan syarat saduran tersebut bukan emas sebenar. Ini bagi mengelakkan ia termasuk dalam larangan yang disebutkan dalam hadis di atas.
Namun, bagi mengelakkan sebarang keraguan, adalah lebih baik memilih alternatif lain seperti sudu berwarna emas atau stainless steel berwarna emas yang tidak mengandungi saduran emas sebenar.
Sekian, terima kasih.