Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamuailaikum ustaz/ustazah, saya nak bertanya tentang perkahwinan saya adakah sudah jatuh talak? saya dapati suami saya, berwasap dengan perempuan lain, suami berkata "saya dah xnk hidup dengan bini saya, saya dah tak nak dia" dan semasa kami bergaduh, suami pernah cakap.dengan saya, kite berpisah lah...saya pon cakap ok kite berpisah. selepas itu kami dah tinggal asing...adakah talak kami dah jatuh? niat suami saya tu memang betul2 nak bepisah dah...tolong saya ustaz..apa perlu saya buat?
Jawapan
Bagi menjawab pertanyaan puan :
1. Mana-mana lafaz talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp atau seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
2. Manakala lafaz suami puan semasa bergaduh yang berbunyi : "kite berpisah lah...saya pon cakap ok kite berpisah", ia juga adalah lafaz kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika melafazkan perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku. Ini kerana lafaz "pisah" itu boleh memberi pelbagai maksud selain talak atau cerai.
Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada talak itu jatuh atau tidak, maka disyorkan agar perkara tersebut dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57. Ini kerana pengesahan apa-apa lafaz cerai adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.