BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz,

Saya ada beberapa soalan berkaitan solat jamak qasar, mastautin dan bermukim. Situasi saya begini; saya telah ditugaskan untuk bekerja di Cameron Highlands sedangkan isteri dan anak-anak saya berada di Dungun Terengganu. Jd, sy akan tinggal di rumah sewa pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat (hari tiba di Cameron Highlands adalah pada Isnin Pagi, perjalanan pulang ke Dungun adalah pada petang Jumaat) dan akan berada di Dungun Terengganu pada hr Sabtu dan Ahad (tiba di Dungun, Terengganu adalah pada Jumaat malam, bertolak ke Cameron Highlands pada Ahad malam). Untuk makluman ustz saya memang tidak berniat untuk tinggal di Cameron Highlands dan mahu kembali pulang bekerja di Terengganu apabila mendapat tawaran.

Persoalan saya ustaz; 

1. Adakah Cameron Highlands telah dikira sebagai tempat saya bermukim (mengikut perkiraan saya masih dikira bermusafir jika hari isnin dan hari jumaat dikira sebagai hari perjalanan)

2. Adakah saya boleh menjamakkan dan mengqasar solat sekiranya sudah tiba di setiap destinasi iaitu semasa perjalanan ke Dungun (Tiba dirumah) dan semasa perjalanan di Cameron Highlands (tiba ditempat kerja).

3. Adakah Dungun itu sudah dikira sebagai lokasi mastautin saya memandangkan isteri dan anak2 tinggal disini dan saya pun berniat untuk kembali bekerja disini.

Situasi lain ustaz, saya ada mendengar jika sekiranya kita memiliki kediaman/rumah atas nama kita maka tempat itu adalah merupakan tempat mastautin kita walaupun kita tidak tinggal disana dan hanya pergi jarang2 sekali dan sekejap shj. Untuk makluman ustaz saya ada membeli rumah di Kuala Lumpur atas nama saya dan isteri dan kami kadang2 ada ke sana dalam 2/3 hari, selain itu saya dan isteri juga ada membina homestay di Setiu Terengganu dimana jarak Dungun-Setiu telah melebihi daripada 2 marhalah dan kami juga kadang2 akn berkunjung ke sini dalam 1/2 hari.

 

Mohon penjelasan ustaz tentang situasi yang sy nyatakan di atas

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Untuk maklumat tuan, istilah yang perlu difahami terlebih dahulu adalah mastautin, musafir dan mukim.

1. Mastautin: Seseorang yang bermastautin merujuk kepada mereka yang tinggal menetap di suatu tempat dan tidak berhasrat untuk berpindah ke tempat lain.

2. Musafir: Seseorang yang bermusafir adalah mereka yang tinggal di suatu tempat tidak melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang dan jarak di antara tempat tersebut dan tempat tinggal mereka melebihi 81 KM.

3. Mukim: Seseorang yang bermukim adalah merujuk kepada mereka yang tinggal di suatu tempat melebihi tempoh musafir.

 

Jumhur Ulama' berpandangan bahawa qasar solat fardhu adalah disunatkan bagi mereka yang bermusafir dan cukup syarat-syaratnya. Abu Ya'la bin Umaiyyah RA pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab RA berkenaan mengqasarkan solat dibolehkan ketika bimbang dizalimi oleh orang kafir seperti yang dinyatakan di dalam surah al-Nisa' ayat ke 101. Tetapi sekarang manusia sudah aman. Maka Umar RA berkata ; Aku pernah terfikir seperti apa yang kamu fikirkan lalu aku pun bertanya kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda; 

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بهَا علَيْكُم، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya : Ia merupakan sedekah dari Allah kepada kamu semua, maka terimalah.

(Riwayat Muslim)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jika tuan tinggal di Cameron Highlands hanya untuk sementara dan berhasrat untuk berpindah kembali menetap ke Dungun Terengganu suatu masa nanti tanpa berhasrat untuk berpindah ke tempat lain, maka Dungun itu masih dikira tempat bermastautin tuan dan Cameron Highlands merupakan tempat bermukim tuan. Jika tuan pulang ke Dungun maka harus untuk tuan solat fardhu secara jamak dan qasar ketika perjalanan dan perlu solat secara tamam apabila tiba di Dungun. 

Apabila tuan pergi ke Cameron Highlands dan sampai ke rumah tuan di sana, tuan diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar selama berada di sana sekiranya tuan berniat untuk tinggal selama 3 hari atau kurang dari itu, tidak termasuk hari sampai dan hari meninggalkan tempat itu. Namun, sekiranya tuan berniat untuk tinggal di sana lebih dari 3 hari, tuan tidak diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar setibanya di kawasan rumah tuan kerana tuan telah dianggap sebagai bermukim. Dalam pertanyaan tuan tiba di Cameron pada Isnin pagi dan bertolak pulang pada Jumaat petang, tuan masih layak untuk mengambil rukhsah Jamak Qasar. Tetapi jika tuan bertolak pulang pada Jumaat malam dan ke atas, maka tuan tidak layak mengambil rukhsah tersebut kerana telah bermukim selama 4 hari.

Seterusnya berkaitan soalan tambahan yang tuan berikan, tempat kediaman tuan di Kuala Lumpur dan Setiu Terengganu itu tidak dikira tempat mastautin meskipun memiliki rumah atas nama tuan di sana. Kerana mastautin adalah merujuk kepada seseorang yang tinggal menetap di suatu tempat dan tidak berhasrat untuk berpindah ke tempat lain. Jelas menunjukkan keberadaan tuan adalah tinggal di Dungun Terengganu dan berniat untuk menetap di sana.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image